Friday, May 10, 2013

HIKAYAT INDERAPUTRA


Hikayat Inderaputera atau juga dikenali sebagai Hikayat Inderaputera merupakan salah satu daripada kesusasteraan bahasa Melayu yang ditulis sebelum 1700-an. Salinan Hikayat Inderaputera yang ada di DBP terdiri daripada 236 halaman dengan ukuran saiz 38cmX22cm. Hikayat ini ditulis pada kertas tebal berwarna kekuningan dengan menggunakan dakwat hitam, dan ada juga yang menggunakan dakwat merah tetapi bagi perkataan tertentu sahaja, terutama pada permulaan ayat. Hikayat Inderaputera ini ditulis dengan tulisan bersaiz besar yang terang dan mudah dibaca. Pada setiap halaman, tulisan merangkumi ruang yang berukuran 25cmX15cm. Terdapat rajah yang berwarna-warni dengan dakwat keemasan pada halaman pertama.
            Hikayat Inderaputera memaparkan dua unsur yang berbeza iaitu unsur Hindu dan juga unsur Islam. Hikayat ini juga dianggap sebagai karya sastera yang lahir dalam zaman peralihan Hindu-Islam dan telah tercatat dalam senarai buku yang diketuai oleh Werndly pada tahun 1936 M. Hikayat ini dikatakan hikayat zaman peralihan kerana mempunyai ciri-ciri tertentu. Antara ciri-ciri tersebut ialah plotnya sentiasa menceritakan dewa-dewi atau bidadari yang turun ke bumi untuk menjadi raja atau anak raja.
 Selain itu, penggunaan yang dijunjung tinggi merujuk kepada tuhan, sebelum ini yang dijunjung adalah Dewata Mulia Raya atau Batara Kala yang kemudian diganti dengan Raja Syah Alam atau Allah S.W.T. Dengan peredaran zaman juga, unsur Islam semakin menebal, meskipun motif-motif Hindu seperti menyelamatkan tuan puteri dari tawanan garuda atau menyembuhkan penyakitnya serta pemindahan nyawa ke binatang masih dipakai. Di samping itu, sastera zaman peralihan biasanya mempunyai dua judul, satu judul yang berkaitan dengan Hindu dan satu lagi berkaitan dengan Islam.
 Seperti hikayat yang lain, Hikayat Inderaputera tidak dicatatkan nama pengarangnya, kecuali disebut bahawa hikayat ini dikarang oleh seorang fakir. Banyak persoalan penting yang terdapat dalam hikayat ini antaranya adalah seperti pengembaraan, percintaan, peperangan dan beberapa persoalan lain. Masih terdapat ciri-ciri asal sebagai sebuah karya yang bercorak sastera Hindu terutama tentang konsep dewa dan pemikiran yang lain. Secara keseluruhan, hikayat ini mempunyai struktur plot yang biasa, ada eksposisi, perkembangan cerita, suspens, klimaks dan pengakhiran.

No comments:

Post a Comment