Bustan Al-Katibin
Raja
Ali haji sangat terkenal dalam bidang bahasa. Beliau telah menghasilkan Bustan
al- Katibin pada tahun 1850. Bustan al-Katibin membawa maksud Taman
Pujangga-pujangga. Bustan al- katibin merupakan buku tatabahasa Melayu. Buku
ini dimulakan dengan pendahuluan, 30 Fasal dan penutupnya. Mukadimah atau
pendahuluan Bustan Al Katibin menjelaskan kelebihan ilmu dan akal manakla
bahagian isi yang terdiri daripada 30 pasal dapat dibahagikan kepada 3 kelompok
iaitu tata ejaan, pembahasan kelas kata dan analisis kalimat. Tata ejaan
dimuatkan dalam fasal 1 hingga fasal yang ke 10.
Pembahagian
kelas kata pula dimuatkan dalam fasal 11 hingga fasal yang ke 14. Raja Ali haji
membahagikan kelas kata kepada ism
iaitu nama, fi’l iaitu perbuatan dan harf iaitu partikel. Pembicaraan
mengenai aspek analisis kalimat pula bermula pada fasal 15. Menurut para
sarjana bahasa Melayu, Raja Ali Haji berjaya membuat ulasan yang baik dalam
bahagian pertama buku ini. Namun, bahagian kedua buku ini sukar diterima kerana
beliau cuba untuk menyesuaikan tatabahasa Melayu dengan tatabahasa Arab. Walau
bagaimanapun, karya Ali Haji ini sangat dihargai kerana usahanya itu dianggap
sebagai percubaan awal untuk menyusun tatabahasa Melayu.
Falsafah Alam
Sebelum
kita melihat dengan lebih jauh mengenai falsafah alam ini, kita lihat dulu
definisi alam sekitar. Alam sekitar
membawa maksud keadaan sekeliling atau lingkungan. Perkataan alam sekitar
merujuk kepada apa sahaja yang melingkungi manusia. Bagaimanapun, secara khusus
perkataan alam sekitar merujuk kepada fenomene fizikal yang melingkungi
organisma di muka bumi. Alam sekitar terbahagi kepada beberapa kompenan . Komponen
yang pertama ialah unit landskap yang berfungsi sebagai sistem semula jadi
tanpa penglibatan manusia seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan batu-bata dan
fenomena semula jadi yang berlaku. Komponen yang kedua pula ialah sumber
sejagat semula jadi serta fenomena fizikal yang tidak mempunyai batasan
tertentu seperti udara, air, iklm, sinaran, cas elektrik dan kemagnetan yang
tidak wujud hasil daripada kegiatan manusia.
Menurut Zaini Ujang (1993) alam sekitar memberi manfaat kepada manusia
sebagai simbol daripada Allah untuk memantapkan keimanan, menjadi buku ilmu
yang akan memimpin manusia yang boleh digunakan untuk memudahkan kehidupan
mereka.
Falsafah
alam sekitar adalah ilmu yang menumpukan kepada alam dan manusia dituntut agar
menggunakan kebijaksanaan mereka semasa bertindak ke atas alam. Manusia perlu
menghormati alam ini kerana mereka adalah pengguna sumber alam terbesar.
Falsafah alam juga merupakan salah satu cabang ilmu falsafah etika. Etika alam
sekitar merupakan kajian yang menekankan hubungan, nilai dan status moral
manusia terhadap persekitaran mereka termasuklah benda bernyawa dan benda tidak
bernyawa. Etika ini juga merujuk kepada kepentingan alam sekitar di samping
mengambil kira suasana penempatan manusia sebagai pengguna terbesar terhadap
sumber alam. Kesimpulannya, falsafah alam menurut Hamka mempunyai ikatan kental
dengan falsafah ketuhanan yang mampu menjadi falsafah kehidupan bagi umat
manusia.
Perkembangan
falsafah alam sekitar ini muncul semenjak tamadun Greek lagi. Antara ahli
falsafah yang membincangkan falsafah alam ini ialah Aristotle. Beliau mengenal
pasti tentang keperluan untuk satu pemerhatian terhadap biologi dan geologi.
Walau bagaimanapun, beliau tidak berminat untuk melindungi alam semula jadi
ini. beliau berpendapat semua kejadian di alam ini adalah untuk kegunaan
manusia serta perbuatan manusia juga ditentukan oleh alam ini. oleh itu,
manusia tidak boleh dipersalahkan terhadap apa jua tindakan mereka.
Menurut
ahli falsafah agama seperti Kalus Klostermaier, kepentingan memahami alam
sebagai unsur yang mempunyai nilai ketuhanan, bukanlah sebagai jalan terakhir
tetapi jalan sebenar dalam memastikan alam sentiasa dihargai. Agama Hindu dan
kristian juga mengatakan kedudukan alam wajib dihargai sebagai makhlum ciptaan
Tuhan untuk dihormati. Kegagalan manusia memahami alam dengan baik adalah
disebabkan oleh kegegalan mereka memahami ajaran agama.
Dalam
pemikiran Hamka, alam membantu masyarakat untuk saling berkeyakinan bahawa
segala yang ada di alam ini telah terancang oleh si Pembuat. Falsafah alam
membawa manusia mengenali dan mendekati Tuhan sehingga bersepdu menjadi
falsafah ketuhanan. Falsafah alam dikatakan menjadi peneraju kepada pembentukan
falsafah ketuhanan dalam diri manusia. Agama menyarankan manusia memahami alam
dalam bentuk penilaian spiritual agar mereka mengetahui tujuan alam dijadikan
untuk mereka.
Unsur-unsur
Alam dalam Bustan Al-Katibin
Manusia
yang hidup di dalam alam, boleh juga dikatakan sebagai manusia ialah alam.
Manusia hidup di dalam ruang alam. Mereka tinggal di tepi sungai, tepi bukit,
tepi pantai, lembah, tepi dan sebagainya. Tambahan pula, sungai, laut dan hutan
merupakan tempat manusia mencari rezeki. Manusia juga telah mempelajari sifat
sifat alam misalnya, kejadian pasang surut, tabiat binatang dan sebagainya.
manusia juga perlu mengkaji alam ini dengan teliti daripada sekecil- kecil
flora dan fauna kepada yang bersaiz gergasi.
Berikut
merupakan beberapa contoh falsafah alam dalam Bustan Al-Katibin
Contoh
1 :
“ Tiada pada langit itu kira-kira
yang lapang daripada awan dan mega”
(Bustan
al-Katibin : 45)
Contoh
2 :
“
Kacang itu jika disayur dengan santan terlalu baik, istimewa pula dibubuh
garam, maka bertambah-tambahlah baiknya”
(Bustan al-Katibin : 28)
Contoh
3 :
“
Atau suara binatang seperti berkiok kepada ayam dan mengembek kepada kambing
dan menguak kepada kerbau, semuanya nama bagi suara belaka.
(Bustan al-Katibin : 38)
Contoh-contoh di atas menunjukkan
penggunaan unsur alam dalam Bustan Al-Katibin. Misalnya, dalam contoh yang
pertama terdapat penggunaan perkataan langit
dan awan. Contoh yang kedua pula
menunjukkan penggunaan unsur tumbuhan iaitu sayur
dan juga santan. Contoh yang ketiga
pula menggunakan unsur binatang iaitu kambing,
ayam dan kerbau.Walau
bagaimanapun, tidak banyak falsafah alam yang dapat dilihat dalam Bustan
al-Katibin. Hal ini kerana, buku ini banyak menceritakan tatabahasa Melayu.
Falsafah Islam dalam Karya Agung Bustan Al-Katibin
Terdapat
beberapa cabang falsafah. Salah satunya ialah falsafah islam. Perkataan islam
membawa erti penyerahan dan pengabdian. Sebagai ‘deen’, Islam merupakan
penyerahan dan pengabdian sepenuhnya kepada Allah S.W.T Perkataan Islam juga boleh diertikan sebagai
ketenangan. Ketenangan yang sejati kepada manusia mengikut Islam akan mengarah
kepada kecemerlangan melalui pengabdian sepenuhnya kepada Allah S.W.T Falsafah
Islam menerangkan pertalian antara manusia dengan penciptanya, antara manusia
dengan manusia dan juga manusia dengan persekitarannya. Kesemua ini berpandukan
kepada sumber al-Quran dan wahyu. Al-Quran merupakan panduan dan pegangan yang
ulung bagi umat Islam. Hal ini telah disebutkan sendiri melalui firman Allah
S.W.T yang bermaksud:
“Dengan
(Al-quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan
kepada sesiapa yang mengikut keredhaanNya dan (dengannya) Tuhan keluarkan
mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang benderang,
dengan izinNya dan (dengannya juga) tuhan tunjukkan ke jalan yang lurus”.
(Surah
al Maa’idah: ayat 16)
Falsafah
ialah satu disiplin ilmu yang mengusahakan kebenaran yang umum dan asas.
Menerangkan pertalian antara manusia dengan penciptanya, antara manusia dengan
manusia dan juga manusia dengan persekitarannya. Falsafah Islam tidak dapat dipisahkan daripada dua sumber
berautoriti iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Al-Quran merupakan panduan dan
pegangan yang ulung bagi umat Islam.
Keesaan
Allah S.W.Tatau tauhid menjadi asas kepada falsafah Islam. Keyakinan kepada
kepercayaan ini mempunyai implikasi yang besar terhadap kehidupan manusia.
Kehidupan dan gelagat manusia sebagai individu dan kehidupan manusia
berorganisasi dan bermasyarakat sudah pasti dipengaruhi oleh kepercayaan ini.
Bahkan falsafah dan sikap hidup manusia dipengaruhi oleh kepercayaan yang
diyakini dan dianutinya. Sesungguhnya, wahyu juga menjadi teras falsafah islam.
Wahyulah yang membentuk aspek-aspek hidup manusia. Hal ini jelas dari segi
sosial, ekonomi, politik, perundangan, kesenian, pendidikan dan lain-lain.
Pendek kata, kesemua aspek ini dikuasai di bawah kawalan wahyu.
Ramai
telah telah memberikan pendapat masing-masing mengenai falsafah bahasa. Menurut
Al-Farabi, falsafah itu ialah ilmu pengetahuan tentang alam yang wujud dan
bertujuan untuk menyelidik hakikat yang sebenar. Menurut Ahmad Fuad al-Ahwani
pula, falsafah Islam adalah pembahasan tentang alam dan manusia yang disinari
ajaran Islam. Mustofa abdul Razik menyatakan bahawa falsafah Islam adalah falsafah
yang tumbuh di negeri Islam dan dibawah naungan negeri Islam tanpa memandang
agama dan bahasa pemiliknya. Ruang perbincangan falsafah Islam berkisar kepada
beberapa persoalan utama iaitu persoalan ketuhanan, persoalan insan, persoalan
alam dan persoalan kehidupan.
Persoalan
ketuhanan berkait rapat dengan agama Islam. Islam sebagai ‘deen’ merupakan satu
cara hidup yang lengkap serta komprehensif. Ia mencakup segala aspek
pengendalian hidup untuk untuk individu, masyarakat dan negara. Islam memandang
agama bukan ciptaan manusia. Ia turun dari langit, melalui para rasul dan dibuktikan
dengan kitab-kitab. Islam diasaskan kepada keesa’an hanya kepada Allah S.W.T.
bahkan manusia diciptakan semata-mata untuk menghayati hidup untuk mendapat
keredaan Allah s.w.t. Penciptaan manusia di dunia ini hanyalah untuk menyembah
yang maha esa. Hal ini bertepatan dengan ayat al-Quran yang bermaksud:
“
tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah aku”.
(Surah
al-Dhariyat: ayat 56)
Persoalan
insan merupakan salah satu persoalan yang penting dalam falsafah islam. Insan
bertindak mengaplikasikan falsafah dalam kehidupan. Di dalam islam, insan
adalah makhluk yang istimewa. Insan dikurniakan fizikal, akal, rohani, fitrah
dan kuasa untuk memilih. Akal dapat membezakan manusia dengan binatang. Ia juga
merupakan salah satu faktor yang membezakan darjah manusia dengan manusia yang
lain. Hal ini dapat dikaitkan dengan falsafah yang ditulis oleh Raja Ali Haji
di dalam kitabnya:
“
shadan jika demikian nyatalah apabila tiada ilmu dan akal, alamat tiadalah ia
mencium bau kemuliaan dan sangatlah jinak kehinaan kepadanya, maka terbukalah
pintunya, maka masuklah kehinaan pada tiap-tiap pintu itu.
Maksudnya
di sini ialah manusia yang tidak berilmu itu tidak akan dipandang mulia, bahkan
mereka akan dipandang hina. Manusia telah diciptakan oleh Allah S.W.T mempunyai
akal. Akal yang membezakan manusia dengan binatang. Akal saling berkait rapat
dengan ilmu. Islam sangat mementingkan ilmu. Hal ini dapat dibuktikan melalui
hadis nabi yang berbunyi:
“
barang siapa yang mati di dalam keadaan menuntut ilmu untuk menghidupkan agama
Islam, maka dia berada di dalam syurga kelak satu darjat dengan para nabi”.
Dalam
kitabnya, Bustan al-Katibin, Raja Ali Haji memulakan dengan mukadimah dengan
judul “fi fadhilati al-ilmu wal aqlu”
Maksudnya kelebihan ilmu dan akal. Menurutnya lagi, akal adalah
sebaik-baik perhiasan. Jikalau beberapa
pun bangsa jika tiada ilmu , akal dan adab, ke bawah juga jatuhnya, yakni
kehinaan juga diperoleh. Di sini Raja Ali Haji mengaitkan hubungan yang amat
erat antara ilmu, akal dan adab. Ertinya, untuk menjadikan akal dan adab
sesuatu bangsa atau masyarakat menjadi lebih baik, maka perlulah mendapatkan
ilmu yang benar. Lebih tegas lagi, Raja Ali Haji menyatakan:
“Man
sa’a adabahu dha’an nasbahu,
ertinya
:barangsiapa jahat adabnya sia-sialah bangsanya.”
(Bustan
al-Katibin : 4)
Alam
mempunyai hubungan yang bermakna dengan persoalan ketuhanan dan insan. Alam
ialah makhluk Allah S.W.T yang mampu difahami dan diketahui insan. Kefahaman insan tentang alam membolehkan insan berfungsi sebagai hamba dan
khalifah memanfaatkan alam bagi meningkatkan kualiti kehidupan. Kehidupan insan
mempunyai peranan dan matlamat yang
jelas kehidupan insan tidak berakhir dengan kematian kehidupan insan tidak berakhir
dengan kematian Insan dituntut agar mencari keredaan Allah S.W.T.
Falsafah Melayu
Tamadun
Melayu merujuk kepada satu rumpun bangsa yang berasal daripada satu punca,
mempunyai asas kehidupan yang sama dan hanya berbeza daripada segi pengaruh
alam sekitar. Konsep Melayu yang digunakan dalam konteks yang lebih luas
sebagai penduduk asal di alam Melayu ini adalah berasaskan idea yang dapat
dikesan daripada sejarah peradaban Melayu itu sendiri. Melayu dapat
didefinisikan sebagai nama suatu bangsa dan bahasa termasuk di Semenanjung Malaysia
iaitu mengikut cara hidup orang Melayu. Di Negara Malaysia, orang Melayu
didefinisikan menurut Perlembagaan Persekutuan dalam perkara 160(2). Menurut
perkara ini, orang Melayu ditakrifkan sebagai
1. Seorang
yang beragama Islam
2. Bertutur
dalam bahasa Melayu
3. Mengamalkan
adat istiadat Melayu
4. Lahir
sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan atau di Singapura atau pada hari
merdeka dia bermastautin di Persekutuan atau di Singapura.
Sejarah
peradaban Melayu yang bersaskan kepada perkembangan budaya Melayu merupakan
fenomena penting dalam pembinaan identiti Melayu. Peradaban Melayu telah dibina
oleh kelompok- kelompok Melayu di alam Melayu secara umumnya dan daripada
keadaan terbinanya identiti Melayu yang bersasakan kepada tradisi sejarah yang
sama yang telah dilalui oleh kumpulan Melayu tersebut.
Kehidupan masyarakat Melayu
sememangnya tidak terlepas daripada peraturan dan aturan yang perlu dipatuhi
berdasarkan kepada kesepakatan masyarakat. Masyarakat Melayu sangat
mementingkan aspek nilai dalam kehidupan untuk menjamin kesejahteraan
masyrakat. Nilai yang disampaikan oleh masyarakat Melayu bersifat beradab,
muafakat dan penuh dengan kesusilaan bersesuaian dengan identiti masyarakat
Melayu. Pemupukan nilai- nilai tersebut dalam masyarakat Melayu membolehkan
seseorang itu diterima sebagai sebahagian daripada masyarakat. Nilai- nilai
murni yang sememangnya menjadi sesuatu yang dekat dengan masyarakat Melayu
merupakan perkara penting yang menjadi tunjang kepada identiti orang Melayu.
Nilai dan etika yang dipegang menjadi cerminan dan membentuk jati diri dalam
interaksi dan kehidupan bermasyarakat. Sebagai contoh, interaksi yang beradab,
sopan dan menghormati orang lain merupakan norma- norma yang erat dengan
kehidupan masyarakat Melayu. Hal ini bersesuaian dengan konsep orang Melayu
yang sering berbudi bahasa dengan orang lain.
Bagi golongan muda contohnya, mereka
diajar supaya berbudi bahasa dan bercakap lemah lembut dan tidak meninggikan
suara apabila bercakap dengan orang yang lebih tua daripada mereka. Pengamalan
tingkah laku yang bersopan sangat penting dalam kehidupan masyarakat Melayu.
Hal ini demikian kerana nilai yang diamalkan akan menghasilkan komunikasi dan
tingkah laku yang penuh tatatertib yang beradab dan penggunaan bahasa yang
penuh dengan kesantunan. Dengan ini dapat mengelak daripada berlakunya
pertelingkahan dan sikap tidak menghormati antara satu sama lain. Selain itu,
masyarakat Melayu mempunyai penilaiannya yang tersendiri terhadap sikap berbudi
bahasa. Masyarakat Melayu telah terdidik untuk mengamalkan adab sopan, tutur
kata yang baik dan tingkah laku mengikut adab- adab ketimuran dan Melayu
sejati. Bagi anggota masyarakat yang tidak mengamalkan nilai berbudi bahasa
dalam kehidupan mereka akan menimbulkan pandangan negatif oleh masyarakat.
Kebudayaan yang diamalkan oleh
masyarakat Melayu yang menjadi amalan turun- temurun menggambarkan identiti
orang Melayu yang berpegang teguh kepada adat nenek moyang. Masyarakat Melayu
masih lagi mengamalkan adat- adat tersebut sehingga ke hari ini. Antara adat
yang masih lagi diamalkan ialah adat merisik dan meminang, adat cukur jambul,
adat melenggang perut bagi perempuan yang hamil dan sebagainya. Ketinggian budi
bahasa dalam masyarakat Melayu juga dapat dilihat dalam ungkapan puisi Melayu
tradisional. Dunia Melayu mempunyai pelbagai bentuk dan puisi Melayu
tradisional seperti pantun, syair, gurindam, seloka, teromba, peribahasa
berangkap, nazam, teka- teki, dabus dan sebagainya. Pantun merupakan puisi yang
paling lama digunakan oleh orang Melayu
sejak zaman dahulu lagi.
Pantun dikaitkan dengan alam semulajadi sebagai perbandingan dan
perlambangan yang berfungsi sebagai sumber pengajaran dan nasihat. Pantun
dijadikan sebagai medium untuk menyampaikan nasihat atau memberikan sindiran
kepada seseorang secara halus. Oleh itu, orang yang ingin diberi nasihat atau
sindiran tidak cepat berasa marah dan tidak berlaku salah faham. pantun
memancarkan pemikiran masyarakat Melayu lama yang amat menekankan aspek
kesantunan dan budi bahasa dalam kehidupan seharian. Menurut Alwi Salim dalam
Rashid Md Idris (2011), kegunaan pantun meliputi pelbagai perkara iaitu sebagai
proses soaiolasi (mendidik) seperti untuk tujuan menasihat atau membentuk moral
yang lebih baik dalam kalangan kanak- kanak atau orang muda, misalnya melalui
pantun nasihat; melepaskan rasa kasih sayang dan rindu dendam terutama dalam
kalangan orang muda; sindiran dan tempelak; menyatakan terima kasih atau
penghargaan terhadap budi atau jasa yang ditaburkan; mencabar ketangkasan
fikiran, misalnya dalam pantun teka teki; adat istiadat yang formal seperti
dalam upacara peminangan dan sebagainya; menekankan pendapat dan menjelaskan
maklumat terutamanya sangat berkesan apabila berhujah supaya pendapat menjadi
lebih berasas.
Terdapat pelbagai jenis pantun yang
mempunyai tema tertentu berkait rapat dengan perasaan cinta, kasih sayang,
puji-pujian, nasihat, agama, adat, telatah dan corak hidup masyarakat. Tema
yang ingin diketengahkan, disisipkan dengan latar alam. Kerana alam itu indah,
maka unsur-unsur alam diaplikasikan di dalam setiap rangkap pantun.
Falsafah
Melayu dalam Bustan al- Katibin
Contoh 1
“Maka hendaklah diperbuat tiap- tiap seorang pada
tatkala berkirim surat- suratan dengan perkataan halus, jika pada pencuri
sekalipun.”
( Bustan al- katibin, m/s :48)
Berdasarkan petikan daripada
Bustan al- Katibin di atas dapat
dijelaskan Falsafah Melayu yang ingin diketengahkan adalah berkaitan
dengan budi pekerti orang Melayu yang sentiasa menjaga setiap tutur bicaranya
dan menggunakan bahasa yang halus dan sopan semasa bercakap dengan orang lain
walaupun orang tersebut merupakan pemcuri sekalipun seperti yang terdapat dalam
petikan di atas. Hal ini bertujuan untuk mengekalkan hubungan baik antara
seseorang individu dengan individu yang lain.
Contoh 2
“ Demikian lagi apabila
selesai surat itu disuratnya, hendaklah dibaca dahulu dimuqabalah kan. Dan
tiada harus orang lain yang membacanya jika tiada dengan izinnya dan tiada pula
orang lain yang menyuratkannya. Bagi orang lain yang mengkhabarkan barang yang
di dalam surat itu kepada seseorang lain jika tiada dengan izinnya tuan yang
punya surat itu, adanya.”
(Bustan al- Katibin, m/: 51)
Petikan di atas pula dapat
dilihat mengetengahkan mengenai peribadi orang Melayu yang sering menjaga
hubungan baik denga orang lain. Bagi masyarakat Melayu hubungan baik yang
terbina sangat penting bagi mengekalkan keharmonian dalam sesebuah masyarakat.
Oleh itu, pengekalan hubungan yang baik dalam masyarakat begitu dituntut dan
perlu diamalkan oleh setiap masyarakat. Berdasarkan petikan diatas menerangkan
mengenai sikap masyarakat Melayu yang tidak akan sesekali mengambil atau
menggunakan sesuatu yang bukan miliknya kecuali dengan pengetahuan atau
kebenaran daripada pemilik sebenar.
Secara ringkas, kebudayaan Melayu
adalah hasil asimilasi dan adaptasi daripada dua budaya purba dan disesuaikan
mengikut geografi setempat.
Hasil dari pertembungan, asimilasi, adaptasi dan kesusuai penggunaan dalam
norma hidup akhirnya melahirkan satu kebudayaan yang juga bertamadun tinggi
iaitu tamadun dan kebudayaan Melayu. Dari falsafah perbidalan dalam
kebudayaan Melayu ini juga, telah mencetuskan idea-idea yang sinonim seperti
itu. Banyak perbidalan tercipta hasil peristiwa dan tanggapan masyarakat dengan
kefahaman yang begitu mendalam dan tepat. Ciri-ciri pengamatan dan kepintaran
ini telah menghidupkan daya kreatif Melayu dan terus berkesinambungan mengikut
kesesuian tempat dan zaman.
Ciri-ciri ini telah melonjakkan kedudukan falsafah kebudayaan dan
pemikiran Melayu sebagai salah satu kebudayaan bangsa manusia yang tua dan
ulung dalam dunia. Berdasarkan falsafah
pemikiran dan adat kebudayaan Melayu pada penelitian sarjana barat, adalah
lebih tinggi atau standing dengan bangsa asing yang maju tetapi tidak mendapat
tempat sewajarnya dalam pemikiran bangsa Melayu itu sendiri. Mereka sangat
membanggakan amalan kebudayaan bangsa asing tanpa mengetahui kebudayaan dan
falsafah kebudayaan bangsa Melayu sendiri adalah lebih jauh tinggi dan bermutu.
Falsafah Bahasa
Muntasyir
(1987) dalam Asep Ahmad Hidayat, falsafah bahasa merupakan suatu penyelidikan
secara mendalam terhadap bahasa yang digunakan dalam falsafah sehingga dapat
dibezakan penyataan falsafah yang mengandungi makna. Menurut Hashim Haji Musa
(2006) pula, falsafah bertujuan untuk meneliti dan menilai bangsa sebagai
pembawa makna, sebagai satu alat perhubungan, perakaman, penimbunan, pewarisan
dan sebagai lambang atau simbol yang mewakili alam, kewujudan, kejadian,
kelakuan dan keadaan bagi seluruh alam kesedaran atau realiti manusia. Searle
dalam Awang Sariyan (2007) pula mendefinisikan falsafah bahasa sebagai usaha
menganalisis ciri-ciri umum bahasa seperti makna, rujukan, kebenaran,
penyahihan, lakuan pertuturan dan
keperluan logis. Definisi lain tentang falsafah bahasa diberikan oleh
Soemarsono (2004) yang menyatakan bahawa falsafah bahasa itu sebagai kajian
falsafah tentang pengetahuan konseptual daripada cara-cara bagaimana
pengetahuan itu dapat diungkapkan dan dikomunikasikan dalam bahasa. Falsafah
ini menjadikan bahasa sebagai objek perbincangan. Secara khusus, bahasa yang
akan dibincangkan tidaklah tertumpu kepada struktur luarannya seperti fonologi,
morfologi dan sintaksis, tetapi perbincangan berfokus kepada fungsi atau
peranan bahasa dalam menyalurkan maklumat atau mesej (Mohd Rashid Md. Idris,
2011 : 1).
Terdapat
kepelbagaian dalam mengertikan falsafah bahasa dan bidang kajiannya. Para tokoh
telah mengemukakan pendapat yang berbeza-beza menurut pandangan mereka sendiri.
Setiapdaripada mereka mempunyai pemikiran tersendiri berkenaan falsafah bahasa.
Namun, menurut Mohd Rashid Md Idris (2011), secara ringkasnya falsafah bahasa
boleh difahami melalui tiga maksud. Pertama, Falsafah bahasa ialah suatu
penyelidikan secara mendalam terhadap bahasa yang digunakan dalam falsafah
sehingga dapat dibezakan pernyataan falsafah yang mengandungi makna
(meaningful) dan yang tidak bermakna (meaningless). Kedua, falsafah bahasa
ialah sebuah ilmu iaitu sekumpulan hasil fikiran mengenai hakikat bahasa yang
disusun secara sistematis untuk dipelajari dengan menggunakan metode tertentu.
Ketiga, falsafah bahasa ialah sebuh metode berfikir secara mendalam, logik, dan
universal mengenai hakikat bahasa.
Falsafah
Bahasa dalam Bustan al-Katibin
Berdasarkan
pengertian falsafah yang telah difahami, terdapat beberapa contoh falsafah
bahasa yang dikenal pasti telah diterapkan oleh Raja Ali Haji melalui
penulisannya dalam kitab Bustan al-Katibin. Raja Ali Haji telah menulis pada
bahagian mukaddimah Bustan al-Katibin seperti berikut :
“Amma
ba’du. Fa ha dzihi muhtasaratan li man yahtaj ‘ala ma’firatin al-huruf wa
khatahu al-Melayu wa ratibatahu ‘ala muqaddimati wa fasuli khatamati. Ertinya,
inilah suatu kitab yang sampun bagi orang yang berkehendak mengenal segala
huruf Melayu dan suratannya dan aku atur akan dia suatu muqaddimah dan beberapa
fasal dan satu Khatimah.”
(Bustan
al-Katibin : 3)
Bustan al-Katibin merupakan tulisan paling awal
tentang bahasa Melayu yang disusun oleh orang Melayu. Ia mengandungi ilmu-ilmu
nahu (sintaksis), saraf (morfologi), qawa’id (tatabahasa), mantiq (logik),
balaghah (retorik), istidlal (pendalilan), kalam (penghujahan), dan sebagainya.
Bustan al- Katibin mengandungi 30 fasal. 28 fasal daripadanya merupakan
perbincangan terperinci mengenai bahasa. Misalnya, fasal 2 memperkenalkan
huruf-huruf dan bunyinya.Pada fasal 6 dimuatkan cara-cara menulis huruf alif
hingga ya pada awal kalimah.Fasal 11 membincangkan isim, atau kata nama. Cara
penulisan Raja Ali Haji ini menunjukkan penerapan unsur falsafah bahasa yang
menekankan penyusanan ilmu bahasa secara sistematis untuk dipelajari
menggunakan metode tertentu.
Kandungan kitab Bustan al-Katibin dimulakan dengan
mukaddimah atau permulaan, seterusnya diikuti dengan 30 fasal, dan kkhatimah.
Selain membincangkan ilmu-ilmu bahasa yang terdapat dalam fasal 1 hingga fasal
28, Raja Ali Haji turut menyentuh perkara-perkara yang berkaitan dengan adab
dan pesanan yang berbentuk nasihat. Antaranya ialah :
“
Keempat, perkara yang tiada mendapat ‘ilmu itu barud al-himmah ya’ni sejuk
hemat serta sangat pula pemalasnya hatinya pun sangat sejuk pada mengasihani
pada jalan menuntut ‘ilmu itu serta dengan lalainya dan lupa pada tiap-tiap
yang dipelajarkannya itu. Adalah tabi’at badannya berat rupanya dan lemah pada
barang yang dikerjakannya dan sangat suka pada berbaring-baring dan tidur pada
yang bukan pada waktunya. Akan tetapi hal keadaannya dirinya itu mengetahui
juga ia akan menuntut ilmu itu sifat kepujian tetapi ia tiada kuasa melawani
hawa nafsunya yang berat itu dan yang lemah itu.”
(Bustan
al-Katibin : 9)
Berikut adalah kandungan yang dipetik daripada
kitab Bustan al-Katibin yang memaparkan pesanan dan nasihat tentang
perkara-perkara yang menyebabkan seseorang itu tidak mendapat ilmu. Menurut
beliau, sikap malas dan menuntut ilmu dengan lalai menyebabkan ilmu yang ada
pada seseorang itu mudah hilang. Kebiasaan masyarakat yang suka berbaring dan
tidur pada yang bukan waktunya juga menjadi salah satu sebab ketandusan ilmu,
sedangkan masyarakat mengetahui kepentingan menuntut ilmu. Namun, hawa nafsu
yang mendorong perlakuan negatif itu tidak dapat ditentang. Di samping itu,
Raja Ali Haji turut mengemukakan adab-adab ketika berguru. Bertepatan dengan
kandungan kitab Bustan al-Katibin yang diutujukan kepada seiapa yang ingin
menuntut ilmu, beliau turut meneranhkan dengan jelas adab-adab menuntut ilmu
dengan guru terlebih dahulu sebelum perkara mengenai ilmu ditulis. Petikan
daripada kitab Bustan al-Katibin adalah seperti berikut :
“ Bermula yang tersebut ini adab berguru itu
sepuluh perkara juga. Pertama-tama apabila ia pergi kepada gurunya itu maka
hendaklah ia memberi salam tatkala bertemu ia dengan gurunya itu. Dan kedua,
hendaklah ia mensedikitkan perkataan yang bukan daripada perkara ‘ilmu itu di
hadapan gurunya itu. Dan ketiga, janganlah ia berkata-kata selama belum ditanya
oleh gurunya itu.”
(Bustan
al-Katibin : 11)
Hal ini jelas menunjukkan bahawa, Raja Ali Haji
telah menggunakan bahasa sebagai perantaraan untuk menyampaikan maklumat atau
mesej sepertimana yang telah ditekankan dalam prinsip falsafah bahasa yang
dikemukakan Mohd Rashid Md Idris (2011) iaitu bahasa yang akan dibincangkan
tidak tertumpu kepada struktur luarannya seperti fonologi, morfologi dan sintaksis,
tetapi perbincangan berfokus kepada fungsi atau peranan bahasa dalam
menyalurkan maklumat atau mesej.
Bibliografi
Abu Hassan Sham (1993). Puisi-puisi Raja Ali Haji. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa & Pustaka.
Kamus Dewan Edisi Keempat (2010). Kuala Lumpur
: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd Rashid Md
Idris (2007). Monograf Bahasa Melayu. Batu Caves, Selangor : IIUM PRESS Sdn. Bhd.
Mohd Rashid Md
Idris (2012). Teori Falsafah Bahasa (Teori Rashid). Tanjung Malim, Perak : Penerbit Universiti
Pendidikan Sultan Idris.
Mohd Rashid Md Idris (2011). Nilai
Melayu dalam Pantun. Tanjong Malim, Perak : Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Raja Ali Haji (2005). Bustan
al-Katibin. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan.
Diambil daripada http://www.ukm.my/ijit/IJIT%20Vol%201%202012/9Zulazmi.pdf
Diambil daripada
http://tatabahasabm.tripod.com/bank/alamsekitar.pdf
No comments:
Post a Comment