RETORIK DALAM TUHFAT AL-NAFIS
Beberapa jenis retorik yang lazim
digunakan dalam sesuatu penulisan atau karya ialah retorik pendedahan atau
eksposisi, naratif, deskriptif, penghujahan dan pemujukan. Retorik dalam Tuhfat
al-Nafis akan cuba di kupas oleh penulis untuk menunjukkan bahawa keindahan
retorik terdapat dalam teks Melayu klasik khususnya dan Tuhfat al-Nafis amnya.
Justeru itu penulis akan memberikan beberapa contoh retorik yang ditemui dalam
Tuhfat al-Nafis karangan Raja Ali Haji ini. Contoh retorik yang digunakan
adalah retorik pendedahan atau eksposisi. retorik pendedahan atau eksposisi
merupakan cara penulis menyampaikan idea atau pandangan, menginterpretasi
peristiwa, menganalisis masalah sosial dan isu politik, menghuraikan hasil
kajian, menerangkan konsep, memberikan definisi, dan sebagainya. Contoh retorik
pendedahan dalam Tuhfat al-Nafis adalah :
“ Syahadan apabila mangkatlah ia
menggantikan kerajaannya puteranya yang bernama Raja Mahmud bergelar Sultan
Mahmud Syah. Maka masa kerajaan baginda inilah, ia membunuh saudaranya itu,
iaitu yang berama Raja Zainal, kerana Raja Zainal itu baik parasnya cantik
manis, memberi ghairat segala hati perempuan melihatnya. Dan banyaklah
anak-anak orang Melaka berahi akan dia hingga anak isteri orang tiadalah
berketentuan mengidah Raja Zainal itu dengan bunga bergubah dan sirih bersulur.
Mana-mana yang perkenan diambilnya dan mana-mana yang tiada berkenan
diberikannya pada segala juak-juaknya. Maka cabullah negeri Melaka itu dengan
hal yang demikian itu. Maka menitahkan Sultan Mahmud itu akan
seorang hambanya menikam (saudaranya) Raja Zainal itu malam-malam, pada tempat
peraduannya itu. Maka telah mangkatlah Raja Zainal itu digemparkan oleh
orangnya dalam negeri itu mengatakan Raja Zainal itu mangkat ditikam pencuri
konon adanya. (edisi 1991. hlm. 135)
Retorik pendedahan dalam Tuhfat
al-Nafis ini mendedahkan akan masalah sosial dan isu politik di negeri Melaka.
Kisah Raja Zainal yang menggunakan ketampanannya untuk berpoya-poya dengan
perempuan di negeri Melaka. Manakala kisah Raja Mahmud yang sanggup membunuh
saudaranya Raja Zainal kerana cemburukan kelebihan yang dimiliki oleh
saudaranya itu.
Pengarang Raja Ali Haji dalam Tuhfat
al-Nafis juga turut menggunakan retorik penghujahan. Retorik penghujahan ini
mampu menyakinkan pembaca terhadap kewajaran sesuatu perkara dan seterusnya
bersetuju dengan perkara itu. Terdapat dua ciri utama retorik ini iaitu
penulisan itu mesti mengandungi gagasan atau usul dan harus disertakan dengan
bukti. Contoh penggunaan retorik penghujahan oleh Raja Ali Haji dalam Tuhfat
al-Nafis adalah seperti berikut :
“ Kemudian telah putus(lah) musyawarah
itu lalulah Yang Dipertuan Muda menyerahkan Pulau Karimun (dan Kundur) itu
kepada (saudara( ((sepupunya)) Raja Abdullah, dan Pulau Kundur itu jadi
ketetapan selama-lamanya kepada Raja Ali Haji berdua bersaudara dengan Raja
Abdullah ((itu pada)) mengamanahkan(nya) pada meramaikannya, dan hasil(hasil)nya
dibahagi lima seperti yang tersebut di dalam surat kuasanya itu. Melainkan
Pulau Kundur tiada masuk bahagian yang lima itu”.(edisi 1991, hlm. 616)
Kandungan Tuhfat al-Nafis ini
menjelaskan tentang ketetapan bahawa penyerahan Pulau Karimun dan Pulau Kundur
kepada Raja Abdullah supaya dapat dimajukan oleh Raja Abdullah. Hasil yang
kemajuan yang diperolehi akan dibahagikan kepada lima seperti mana yang telah
diputuskan dalam surat perjanjian penyerahan Pulau Karimun kepada Raja Abdullah
itu.
Tuhfat al-Nafis juga turut mengandungi
retorik lain iaitu retorik pemerian. Retorik pemerian adalah bertujuan untuk
memerihalkan sesuatu. Penulisan itu semata-mata cerminan benda atu perkara
sebenar yang diperihalkan, iaitu penulisan yang memaparkan sesuatu bagaimana
adanya. Retorik pemerian terbahagi kepada dua jenis iaitu bersifat saintifik
dan fakta. Penulisan jenis ini berasaskan fakta sebenar yang ada pada sesuatu
objek. Jenis yang kedua pula bersifat
imaginatif iaitu memberikan gambaran yang abstrak yang memerlukan audiens
menggunakan daya imaginatif dan daya fikir untuk menghayatinya. Contoh yang di
berikan oleh Raja Ali Haji seperti :
“ Maka lalu dikeluarinya oleh orang
Siak (itu), serta orang Siantan, mana-mana (yang) sebelah dia. Maka lalulah
(beramuk-amukan mula-mulanya), berbedil-bedilan dengan meriam (dan) lela.
Kemudian berapat berbedi(-bedil)an dengan senapang (dan) pemuras. Kemudian
berapat (bercencangkan kelewang dan pedang dan) bertikamkan (lembing, tombak.
Kemudian berapat bertikamkan) keris (pendek, ada yang bertikam bercengkeng
pinggang sama seorang). Maka sangat ramainya (perang itu), kerana sama(sama)
tiada mau undur (anak-anak Selangor dengan anak Siak)”.(edisi 1991, hlm. 279)
Retorik pemerian yang diatas adalah
retorik pemerian imaginatif yang memerlukan pembaca menggunakan daya imaginatif
dalam menggambarkan suasana peperangan yang berlaku di antara Selangor dan
Siak. Suasana peperangan yang menggunakan senjata seperti keris, senapang dan
sebagainya.
Retorik lain yang ingin diketengahkan
adalah retorik pemujukan. Retorik pemujukan menggunakan bahasa pujukan untuk
mempengaruhi pemikiran dan keyakinan orang lain agar mempercayai sesuatu
perkara yang diperkatakan. Ciri-ciri pemujukan seperti menggunakan bahasa yang
manis, menarik dan mementingkan
kehalusan berbahasa serta berunsurkan aspek psikologi. Dua jenis pemujukan
iaitu pemujukan rasional ( penghujahan,
penyampaian fakta, dan data adalah lengkap) dan pemujukan tidak rasional
(melibatkan emosi). Contoh retorik pemujukan yang ditemui oleh penulis dalam
Tuhfat al-Nafis adalah :
“ Maka berkatalah Pengeran Dipati itu
kepada Gusti Jameril, “Adapun cucuku ini aku hendak (ambil) buat menantu.
Cucuku pilihlah anaku yang dua orang itu mana-mana suka cucuku.” Maka jawab
Gusti Jameril, “adapun (yang) seperti kehendak nenda belumlah patik boleh
menentukan bermohonlah patik mengadap paduka anak anda Pangeran Emas Seri
Nagara dahulu.” (edisi 1991, hlm. 232)
Pemujukan yang di atas adalah pemujukan
tidak rasional yang melibatkan emosi iaitu apabila Pengeran Dipati memujuk
Gusti Jameril untuk memilih antara dua cucunya bagi dijadikan isteri buat Gusti
Jameril. Gusti Jameril meminta izin untuk beliau berjumpa dengan ayahnya
sebelum beliau membuat keputusan.
BINAAN AYAT DALAM TUHFAT AL-NAFIS
Ayat Majmuk dan
Penggunaannya dalam Tuhfat Al-Nafis
Ayat majmuk ialah ayat yang
dibina dengan mencantumkan dua ayat tunggal atau lebih, dan percantuman ayat-ayat
ini disusun mengikut cara tertentu sehingga menjadikannya ayat baharu. Ayat
majmuk terdiri daripada tiga jenis iaitu ayat majmuk gabungan, ayat majmuk
pacangan dan ayat majmuk campuran.
- Ayat majmuk gabungan
Gabungan adalah salah satu cara
untuk menghubungkan dua ayat tunggal. Ayat yang hendak digabungkan itu mestilah
setara sifatnya, iaitu ayat- ayat itu sama taraf dan boleh berdiri sendiri. Ayat-ayat
tunggal ini boleh digabungkan dengan menggunakan penghubung misalnya dan, tetapi dan atau.
Contoh ayat majmuk gabungan
dalam Tuhfat al-Nafis :
Syhadan maka apabila ia mangkat menggantikankan kerajaannya
puteranya, Raja Ibrahim bergelar Sultan Abdul Syahid Syah dan lagi ada seorang puteranya baginda itu bernama Raja Kassim
ibunya anak Mani Perindan bernama Tun Ratna Wati.
(Tuhfat al-Nafis : 8)
Adalah perahunya bernama dendang , panjangnya tiga belas
depa,bermerian dua sehaluan, sunting rentaknya sepuluh sebelah, dan tahan rurutnya dua.
(Tuhfat
al-Nafis : 8)
Syahadan kata sahib al-hikayat adapan yang mula-mula menjadi
raja di dalam Siak, iaitu Raja
Kechik
(Tuhfat
al-Nafis : 21)
Syahadan puteranya Sultan Ahmad (syah) itu murah perngainya,
akan tetapi tiada suka akan orang
tuha-tuha….
(Tuhfat al-Nafis : 11)
Maka maralah segala Bugis-Bugis itu sambil membedilkan pemura (senapangnya serta dengan kilung
musungnya.
(Tuhfat al-Nafis : 217)
Berdasarkan contoh-contoh yang
diberikan di atas, kita dapat melihat ayat-ayat majmuk gabungan dalam Tuhfat
al-Nafis. Ayat majmuk dapat dilihat dengan adanya penggunaan
perkataan-perkataan seperti dan, lalu,
tetapi dan sambil.
- Ayat majmuk pancangan
Ayat majmuk pancangan ialah
ayat yang dibentuk oleh klausa yang tidak setara. Hal ini bermakna, dalam ayat
majmuk pancangan ini terdapat satu klausa bebas atau ayat utama dan satu atau
lebih klausa tidak bebas atau ayat kecil. Ayat majmuk pancangan boleh
dibahagikan kepada tiga iaitu pancangan relatif, komplemen dan keterangan.
Ayat
relatif ialah ayat yang ditandai dengan penggunaan perkataan yang. Perhatikan
contoh yang berikut :
Saya membeli baju yang berwarna merah
Sebenarnya
ayat di atas terbahagi kepada dua ayat iaitu :
(a) Saya membeli baju
(b)
Baju itu berwarna merah.
Seterusnya,
pembentukan ayat majmuk komplemen pula disertai penggunaan beberapa perkataan
tertentu yang digunakan sebagai kata komplemen untuk menandakan hubungan ini.
terdapat dua kata komplemen dalam bahasa Melayu iaitu bahawa dan untuk. Perhatikan
contoh berikut:
Penduduk kampung itu menyedari bahawa
nasib mereka terancam.
Ayat
di atas terdiri daripada dua ayat iaitu
(a) Penduduk kampung itu menyedari (sesuatu)
(b)
Nasib mereka terancam
Contoh penggunaan ayat majmuk
pancangan relatif dalam Tuhfat al-Nafis
Syahadan apabila mangkatlah Sultan Ala al-Din Riayat Syah
itu, menggantikan puteranya yang
bergelar Sultan Muzzafar Syah.
(Tuhfat al-Nafis : 12)
Fasal pada menyatakan salasilah Opu Dahing Kemasi yang bergelar di dalam negeri Sambas
bernama Pangeran Mangkubumi.(Tuhfat al-Nafis : 45)
Berdasarkan
contoh di atas kita dapat melihat ayat majmuk pancangan relatif dengan adanya
perkataan yang. Namun, kita tidak
dapat melihat penggunaan ayat majmuk komplemen di dalam karya agung ini.
Ayat
majmuk keterangan pula ialah ayat majmuk yang terdiri daripada satu ayat induk
dan satu ayat kecil atau lebih yang berfungs sebagai keterangan kepada
predikat. Perhatikan contoh berikut :
Ali tidak begitu pandai semasa
saya mengajarnya dahulu
Ayat
majmuk di atas mempunyai dua ciri. Ciri yang pertama ialah adanya ayat induk
dengan satu ayat kecil atau lebih yang tidak dapat berdiri sendiri. Ciri yang
kedua ialah, adanya kata hubung yang menjalinkan ayat induk dan ayat kecil ini.
Ayat kecil ini disebut sebagai ayat keterangan. Terdapat 9 jenis ayat majmuk
keterangan.
- Keterangan musabab
Keterangan musabab ialah unsur yang menerangkan sebab
berlakunya sesuatu kejadian atau perbuatan. Kata hubung keterangan musabab
adalah seperti kerana, lantaran dan oleh sebab.
- Keterangan akibat
Keterangan akibat ialah unsur yang menerangkan kesan atau
hasil sesuatu perbuatan. Kata hubung keterangan ialah hingga dan sehingga.
- Keterangan syarat
Keterangan syarat ialah unsur yang menerangkan tuntutan yang
mesti dipenuhi. Kata hubung syarat adalah seperti sekiranya, andai kata, jikalau, jika dan kalau.
- Keterangan waktu
Keterangan waktu ialah unsur yang menerangkan masa sesuatu
perbuatan atau kejadian. Kata hubung keterangan waktu adalah seperti sejak, semenjak, setelah, sewaktu, sementara, tatkala dan ketika.
- Keterangan pertentangan
Keterangan pertentangan ialah unsur yang menerangkan sesuatu
perbuatan atau kejadian yang berlawanan. Kata hubung keterangan pertentangan
adalah seperti walaupun, meskipun,
kendatipun, walau bagaimanapun, namun, sekalipun dan sedangkan.
- Keterangan harapan
Keterangan harapan ialah unsur yang menerangkan sesuatu
perbuatan atau kejadian yang dihajati. Kata hubung keterangan harapan adalah
seperti supaya, agar, semoga, moga- moga dan kalau-kalau.
- Keterangan cara
Keterangan cara ialah unsur yang menerangkan gaya atau
kaedah sesuatu perbuatan atau kejadian berlaku. Kata hubung keterangan cara
ialah dengan.
- Keterangan tujuan
Keterangan tujuan ialah unsur yang menerangkan maksud bagi
sesuatu perbuatan atau kejadian. Kata hubung keterangan tujuan adalah seperti untuk, demi, dan bagi.
- Keterangan perbandingan
Keterangan perbandingan ialah unsur yang menerangkan sesuatu
kejadian yang menjadi persamaan. Kata hubung keterangan perbandingan adalah seperti, macam, seolah olah, seakan akan.
Ibarat, bagaikan dan bak.
Contoh
penggunaan ayat majmuk keterangan dalam Tuhfat al-Nafis
- Keterangan musabab
Di dalam pada itu Allah Subhanahu wa Ta’ala yang terlebih
tahu akan hakikat al-umur kulliha, kerana
Balqis itu di negeri Saba pihak negeri tanah Yamani, anak raja jin jadi isteri
Nabi Allah Sulaiman ‘alaihissalam.
(Tuhfat
al-Nafis : 22)
Lalu diambil oleh gembala kerbau, sebab kerbaunya mati terkene kepada besi itu, tanggal segala
bulunya daripada bisanya besi itu.
(Tuhfat
al-Nafis : 51)
Maka matilah keduanya sebab
kerana pekerjaan kebesaran dan pekerjaan dunia ini adanya.
(Tuhfat
al-Nafis : 8)
- Keterangan akibat
Tiada lainlah isi perut
suku-suku Melayu itu hingga dengki
dan khianat akan kita semua anak Bugis dan tiada guna sumpah-sumpah setia dan
lagi tiada berguna sumpah setia marhum yang dahulu-dahulu.
(Tuhfat
al-Nafis : 182)
- Keterangan syarat
Jikalau sudah patut pada abang semua
(sebelah Bugis), raja Mahmud ini menjadi Raja Johor (dengan segala takluk
daerahnya maka saya semua pun sertalah, (kerana semuanya pun anak cucu marhum
juga, semuanya patut saya sembah).
(Tuhfat al-Nafis : 174)
Jikalau sudah Tuan (Raja Muda dan Tuan Raja) bendahara
(temenggung), tiada dapat lagi membayarkannya, baiklah anak raja dua orang itu
serahkan kepada kita….
(Tuhfat al-Nafis : 169)
Jika demikian tiadalah aku boleh tahan lagi, hendak kita
tinggalkan balik ke Bugis, bagaimanalah jalan anak cucu marhum (Batangan) sudah
menjadi anak buah kita, (dan anak buah kita, sudah menjadi bonda bagindanya.
(Tuhfat al-Nafis : 182)
- Keterangan waktu
Syahadan maka tatkala Arung boneh berangkat ke Boneh
itu, ditinggalkannya Opu Tendriburang ( Dahing Rilaga) itu di Mengkasar
menunggu isterinya, sementara belum dibawanya ke Boneh atau ke mana-mana atau
suatu ketetapannya.
(Tuhfat
al-Nafis : 51)
Syahadan setelah
Tun Dalam mendengar titah baginda itu, maka ia pun berdian dirinya serta tunduk
sejurus, baharulah ia berdatang sembah maka sembahnya, “yang patik ini
mana-mana sahaja tintah perintah.
(Tuhfat al-Nafis : 146)
Maka pada ketika
ia hendak membelah menyeberang daripada satu penjajab kepada satu penjajab itu,
maka dibedil oleh satu kapal yang hitam dengan meriam.
(Tuhfat al-Nafis : 248)
- Keterangan harapan
Baiklah haraplah punggawa semua kepada Allah Taala
(Tuhfat al-Nafis : 186)
Tiadalah aku tahu melainkan yang mana-mana ada di dalam
siarah-siarah yang kau dapat atau yang aku dengar daripada mulut-mulut orang
aku suratkanlah serta harapkan ampun
kasihan Allah wa Ta’ala akan daku barang yang tersalah bebalku dan khilafku.
(Tuhfat al-Nafis : 271)
Baiklah. Nanti pada hari Jumaat kita panggil makan-makan di
kebun, supaya boleh selalu kita
tangkap sama dia.
(Tuhfat al-Nafis : 147)
Jikalau sudah tuan Raja Muda dan Tuan Raja bendahara
temenggung tiada dapat lagi membayarkannya, baiklah anak raja dua orang itu
serahkan kepada kita, supaya kita
bawa kepada gebernur Melaka, kerana gebernur sudah memberi perintah di atas
kita jangan kita balik hampa saja, jadi kita malu.
(Tuhfat al-Nafis : 169)
- Keterangan cara
Maka apabila berapat maka
lalulah beramuk-amukan dengan pedang
dan lembing dan kelewang dan keris pendek.
(Tuhfat al-Nafis : 235)
Maka apabila bertemu kedua pihak lalulah berperang
beramuk-amukan azmatlah bunyinya gegak gempita tiada kedengaran apa lagi serta dengan sorak tempiknya.
(Tuhfat al-Nafis : 236)
- Keterangan perbandingan
Maka lalulah berperang pula
dengan penjajab itu bertembak-tembakan legum-legam seperti bunyi halilintar membelah bukit.
(Tuhfat al-Nafis : 249)
Setelah selesai maka berundurlah ke laut penjajab itu maka
apabila hari siang berperanglah semula seperti
adat sehari-hari maka tiada juga berketewasan antara kedua pihak itu.
(Tuhfat al-Nafis : 249)
Berdasarkan
contoh-contoh di atas kita dapat melihat satu persatu penggunaan ayat majmuk
pancangan keterangan dalam Tuhfat al-Nafis. Ada juga ayat majmuk pancangan
keterangan yang tidak digunakan misalnya ayat majmuk pancangan keterangan
pertentangan dan ayat majmuk pancangan tujuan. Ada juga penggunaan dua kata
hubung secara serentak iaitu sebab kerana.
Namun, sebab kerana tidak digunakan
dalam bahasa Melayu moden. Antara ayat majmuk pancangan keterangan yang paling
banyak digunakan dalam karya agung ini ialah ayat majmuk keterangan waktu.
Penggunaannya dapat dilihat dengan adanya perkataan ketika, setelah, tatkala, dan banyak lagi. Bagi ayat majmuk pancangan keterangan harapan,
tidak ada perkataan seperti semoga,
moga-moga dan sebagainya, namun, penggunaan kata harapkan menunjukkan penggunaan yang hampir sama dengan ayat majmuk
pancangan keterangan harapan.
4.3 Ayat majmuk campuran
Ayat majmuk campuran ialah ayat
yang mengandungi lebih daripada satu jenis ayat, yakni terdiri daripada
campuran ayat tunggal dengan ayat majmuk atau deretan berbagai bagai jenis ayat
majmuk. Ayat sedemikian biasanya panjang. Perhatikan contoh di bawah :
Ahmad sedang membaca buku tetapi kawan kawannya yang
sudah letih lesu telah lama tidur
Ayat
ini terdiri daripada ayat majmuk gabungan yang disambungkan dengan kata hubung
tetapi. Ayat pertama dalam ayat ini ialah Ahmad sedang membaca buku semantara
ayat yang kedua ialah kawan kawannya yang sudah letih lesu telah lama tidur.
Ayat yang kedua ini merupakan ayat majmuk juga kerana terdapat ayat relatif
iaitu yang sudah letih lesu, dipancangkan ke dalamnya.
Mereka mendaftarkan kanak kanak yang lahir dalam tahun 2002, yang
telah menerima suntikan tersebut
Berdasarkan
ayat di atas, terdapat dua ayat relatif yang dipancangkan ke dalam ayat induk
iaitu yang lahir dalam tahun 2002 dan yang telah menerima suntikan tersebut.
Murid-murid itu mengetahui bahawa peraturan itu penting dan
mereka menyedari bahawa walaupun
mereka tidak senang hati dengannya, peraturan itu mesti dipatuhi.
Ayat
majmuk ini terdiri daripada dua ayat yang digabungkan dengan kata hubung dan,
iaitu murid-murid itu mengetahui bahawa peraturan itu penting dan mereka
menyedari bahawa walaupun mereka tidak senang hati dengannya, peraturan itu
mesti dipatuhi. Kedua-dua ayat ini pula merupakan ayat majmuk juga dengan
kehadiran kata hubung komplemen bahawa.
Berdasarkan
contoh yang diberikan, ayat bahasa Melayu sebenarnya boleh terdiri daripada
pelbagai bentuk. Di samping ayat tunggal, ayat dalam bahasa Melayu juga
dibentuk melalui proses pemajmukan.
Contoh penggunaan ayat majmuk
campuran dalam Tuhfat al-Nafis
Contoh 1 :
Adapun anak yang tuanya dapat ia di dalam masa ia jadi
bendahara, dijadikannya bendahara, dan
anaknya yang tengah dijadikannya
temenggung, dan anaknya yang bongsu dijadikannya Raja Indera
Bongsu.
(Tuhfat al-Nafis : 48)
Contoh 2 :
Syhadan kata sahibul al-hikayat pada Hijrat (tahun) sanat
1138, masa itulah turun Sultan Khalifahtullah Muhammad Syah ke negeri Kampar, lalu menyuratkan sumpah setia antara
raja Pagar Ruyung dengan Johor dan
anak Minangkabau yang di pesisir
laut.
(Tuhfat al-Nafis : 88)
Contoh 3 :
Maka apabila sampai saat yang baik, belayarlah ia dari
betawi dihantar oleh saudaranya yang
bernama Dahing Lolo dengan sebuah
pencalang serta dagangan dari Betawi
yang halus-halusnya dan yang
kasar-kasarnya.
(Tuhfat al-Nafis : 93)
Contoh 4 :
Maka jawab Pangeran Dapati, “Yang saya tiada apa mana-mana
sahaja yang baik kepada Ratu Bagus, kerana adalah pekerjaan saya
sekali-sekali bukan perbuatan saya, akan tetapi
pekerjaan ini perbuatan anak saya Raden Jaga itu, dengan tiada usul periksanya serta mengikut hawa nafsu syaitan.
(Tuhfat al-Nafis : 100)
Contoh 5
Syahadan ada kira-kira tujuh hari begitu Raja Kechik pun
berhenti, tiada melanggar kerana
lagi musyawarah dengan menterinya, kerana
pada masa itu negeri Riau sudah kukuh serta
dengan ramai orangnya dan dengan
makmurnya.
(Tuhfat al-Nafis : 107)
Berdasarkan contoh-contoh di
atas kita dapat melihat dengan jelas penggunaan ayat majmuk campuran. Ayat
majmuk campuran ini kerap digunakan kerana ayat-ayat yang terdapat dalam Tuhfat
al-Nafis ini agak panjang berbanding dengan bahasa Melayu yang kita gunakan
sekarang. Jadi, kata hubung digunakan untuk menghubungkan ayat- ayat yang
panjang ini. Kebanyakan ayat dalam karya agung ini menggunakan ayat majmuk
campuran.
Kita lihat contoh 1, terdapat ayat majmuk gabungan iaitu
perkataan dan. Ayat majmuk gabungan
ini di campurkan dengan ayat majmuk pancangan relatif yang. Contoh 3, pula memperlihatkan campuran dua jenis ayat majmuk
iaitu ayat majmuk gabungan dan ayat majmuk pancangan. Ayat majmuk gabungan yang
digunakan dapat dilihat dengan penggunaan perkataan dan dan serta. Ayat ini
juga mempunyai dua jenis ayat majmuk pancangan iaitu ayat majmuk pancangan
relatif dengan penggunaan perkataan yang
dan ayat majmuk pancangan keterangan cara dengan penggunaan perkataan dengan.
Dapat saya simpulkan di sini, kebanyakan ayat yang
terdapat dalam karya agung ini menggunakan pelbagai variasi ayat majmuk
campuran.
- Ayat majmuk pasif
Ayat majmuk aktif yang
mengandungi kata kerja transitif, boleh dijadikan ayat pasif. Perhatikan contoh
yang berikut :
i.
Ayat
Majmuk gabungan
(a) Aktif : Saya minum teh dan Aminah makan nasi.
(b) Pasif : Teh saya minum dan nasi dimakan oleh aminah.
ii.
Ayat
majmuk relatif
(a) Aktif : Mereka menonton wayang yang lucu itu.
(b) Pasif : Wayang yang lucu itu ditonton oleh mereka.
iii.
Ayat
majmuk komplemen
(a) Aktif : Guru menerangkan bahawa ujian akan bermula
pada bulan hadapan.
(b) Pasif :
Bahawa ujian akan bermula pada bulan hadapan diterangkan oleh guru.
iv.
Ayat
majmuk keterangan
(a) Aktif : Ali akan membeli buku itu kalau ayah
membenarkannya.
(b) Pasif : Buku itu akan dibeli oleh Ali kalau ayah
membenarkannya.
Contoh penggunaan ayat majmuk
pasif dalam Tuhfat al-Nafis
Maka ia yang
bermimpi berjumpa ke hadrat nabi kita Muhammad sallallahu ‘alaihi wassalam di
dalam tidurnya yang diajar oleh Rasul
Allah Sallallahu ‘alaihi wassalam
dengan mengucap dua kalimah syahadat, iaitu ‘Ashhadu an la Ilaha illa’ Llahu,
wa ashhandu anna Muhammadan Rasulu’ Llahi,
(Tuhfat al-Nafis : 7)
Selain daripada penggunaan
ketuga-tiga jenis ayat majmuk di atas, terdapat juga penggunaan ayat majmuk
pasif seperti contoh di atas.
No comments:
Post a Comment