Perkataan Melayu berasal daripada bahasa sanskrit iaitu ‘Malaya’ ataupun daripada bahasa Tamil ‘Malai’ yang bererti ‘bukit’ atau ‘tanah tinggi’. Masyarakat Melayu merupakan salah satu bangsa yang melengkapi kepelbagaian bangsa di Malaysia. Malah, bangsa Melayu merupakan salah satu daripada tiga bangsa yang mempunyai bilangan terbanyak di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India. Masyarakat Melayu di Malaysia ialah penduduk yang menghuni kawasan semenanjung Malaysia dan Pulau Borneo. Kebanyakan daripada masyarakat Melayu yang ada di Malaysia adalah sama dengan masyarakat Melayu yanga ada di Indonesia. Walau bagaimanapun, undang-undang dasar Malaysia memiliki batasan tersendiri mengenai takrif Melayu. Kerajaan Malaysia telah mendefinisikan Melayu sebagai penduduk peribumi yang bertutur dalam bahasa Melayu, beragama Islam, dan yang mengamalkan adat serta tradisi orang Melayu. Namun, dari segi definisi budaya (cultural definition), Melayu itu merangkumi seluruh penduduk peribumi di Dunia Melayu, iaitu penduduk serumpun tidak kira agama, bahasa, dan adat istiadat masing-masing yang diikuti oleh kelompok serumpun tersebut.
Menurut Syed Husin Ali, dari segi fizikal kebiasaannya orang Melayu mempunyai kulit sawo matang iaitu tidak terlalu cerah dan tidak terlalu gelap. Orang Melayu berbadan sederhana besar, tegap dan selalu berlemah lembut serta berbudi bahasa. Aris Osman pula menyatakan bahawa terdapat beberapa definisi tentang orang Melayu berdasarkan aspek sosiobudaya. Definisi Melayu yang paling sempit adalah apabila orang Melayu didasarkan kepada daerah atau negeri, sebaliknya definisi Melayu menjadi lebih luas apabila dimasukkan ke dalam definisi itu beberapa suku Indonesia, orang Melayu keturunan Arab, dan orang Melayu keturunan Keling. Definisi Melayu menurut perlembagaan Malaysia membuka pintu kepada sesiapa sahaja untuk menjadi Melayu dengan syarat seseorang itu memeluk agama Islam, pandai berbahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat orang Melayu (Mohd Rashid Md Idris, 2007 : 4). Kesimpulan yang dapat dibuat ialah, Melayu itu merujuk kepada suatu bangsa yang mempunyai ciri-ciri fizikal tersendiri, di samping budaya dan agama yang dominan dan diamalkan dalam masyarakat tersebut seperti yang telah dijelaskan sebelum ini.
Karya Agung
Salah satu bukti atau bahan yang boleh dijadikan rujukan terhadap sesuatu bangsa ialah karyanya. Hal ini demikian kerana sebuah karya adalah cerminan bangsa yang menjadi latar dalam karya tersebut pada waktu karya itu dihasilkan. Sebuah karya adalah seperti rakaman yang mencatatkan perihal masyarakat dan perlakuannya. Karya yang ketika dihasilkan mungkin hanya bertujuan sebagai hiburan atau sebagai hobi untuk mengisi masa lapang, tidak mustahil akan menjadi rujukan pada masa hadapan. Hal ini demikian kerana, apabila sesebuah masyarakat itu tidak lagi wujud, hanya karya yang menjadi tinggalan sebagai bukti kewujudan mereka serta aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh mereka. Lazimnya, sesebuah karya akan merakam kehidupan sesebuah masyarakat walaupun tidak secara khusus tetapi cukup untuk mengidentitikan masyarakat tersebut. Karya-karya hebat akan bertahan dalam jangka masa yang lama sehingga boleh diteliti oleh generasi yang akan datang selepasnya. Karya hebat seperti ini disebut sebagai karya agung.
Karya agung merupakan karya klasik yang telah meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Karya agung dianggap sebagai pembentuk dan cerminan budaya masyarakat yang menghasilkannya. Ia juga melambangkan daya cipta dan kerativiti sesuatu bangsa untuk melambangkan identitinya yang tersendiri. Hal ini menyebabkan falsafah, pemikiran, karya seni, budaya dan sastera yang terdapat dalam karya agung menjadi pegangan dan panduan bagi masyarakat yang yang hidup pada zaman ini. Karya-karya agung ini mengungkapkan pelbagai perkara termasuklah ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang. Kebanyakan karya agung yang ada pada hari ini dikaji untuk diketahui isi kandungannya dan ada di antara isi kandungan itu masih berguna sehingga hari ini dan dipelajari. Keadaan ini membuktikan bahawa karya agung itu adalah satu hasil penulisan yang berkualiti dan ditulis oleh orang-orang yang berilmu pengetahuan tinggi dalam masyarakat tersebut.
Karya Agung Melayu
Karya agung Melayu ialah karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis, dan pemikir bangsa Melayu pada zaman dahulu dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral, dan visi bangsanya. Kesemuanya itu digambarkan dalam bentuk sastera dan seni yang tinggi niainya sehingga kesan seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu. Tamadun Melayu banyak terbentuk daripada tradisi sastera agung ini. Karya agung Melayu bererti karya yang ditulis atau diungkapkan dalam bahasa Melayu. Karya-karya ini termasuklah pepatah, pantun, penglipur lara dan lain-lain. Ia tidak mengambil kira kelompok bangsa atau etnik dalam kawasan dunia Melayu ini sama ada orang semenanjung Tanah Melayu, Brunei, Aceh, Bugis, Minangkabau dan lain-lain. Sempadan geogerafi tidak menjadi persoalan, sebaliknya pemikiran yang mampu dicetuskan dalam bentuk dan gaya yang luar biasa, sistem nilai dan kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu turun-temurun itu yang diutamakan.
Antara karya-karya Agung Melayu yang terkenal ialah Sulalatus Salatin atau juga dikenali sebagai Sejarah Melayu. Karya agung ini telah dihasilkan oleh seorang tokoh yang berilmu pada zamannya iaitu Tun Sri Lanang. Ia merupakan naskhah tertua yang pernah ditemui dan dikarang di Johor pada tahun 1612 atas titah raja. Episod-episod yang dipaparkan dalam karya ini memberi maklumat penting tentang keturunan raja-raja Melayu serta adat istiadatnya, dan peristiwa-peristiwa bersejarah yang melibatkan kerajaan Melayu Melaka dan tanah jajahannya. Selain itu, Hikayat Hang Tuah yang dikarang sekitar tahun 1641 hingga 1736 yang merupakan satu-satunya epik Melayu yang mewakili bangsa itu sendiri tentang cita-citanya, kebolehannya, dan sikap hidupnya pada suatu zaman. Pengarang mengakhiri karyanya dengan meninggalkan semangat yang kekal dalam minda Melayu hingga hari ini iaitu ‘Takkan Melayu Hilang di Dunia’. Karya-karya agung yang lain adalah seperti Tuhfat al- Nafis, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Acheh, Hikayat Raja Pasai, Hikayat Abdullah, Syair Ken Tambuhan, Bustan al-Katibin, Hikayat Inderaputera dan Pantun Melayu : Bingkisan Permata.
Antara karya-karya Agung Melayu yang terkenal ialah Sulalatus Salatin atau juga dikenali sebagai Sejarah Melayu. Karya agung ini telah dihasilkan oleh seorang tokoh yang berilmu pada zamannya iaitu Tun Sri Lanang. Ia merupakan naskhah tertua yang pernah ditemui dan dikarang di Johor pada tahun 1612 atas titah raja. Episod-episod yang dipaparkan dalam karya ini memberi maklumat penting tentang keturunan raja-raja Melayu serta adat istiadatnya, dan peristiwa-peristiwa bersejarah yang melibatkan kerajaan Melayu Melaka dan tanah jajahannya. Selain itu, Hikayat Hang Tuah yang dikarang sekitar tahun 1641 hingga 1736 yang merupakan satu-satunya epik Melayu yang mewakili bangsa itu sendiri tentang cita-citanya, kebolehannya, dan sikap hidupnya pada suatu zaman. Pengarang mengakhiri karyanya dengan meninggalkan semangat yang kekal dalam minda Melayu hingga hari ini iaitu ‘Takkan Melayu Hilang di Dunia’. Karya-karya agung yang lain adalah seperti Tuhfat al- Nafis, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Acheh, Hikayat Raja Pasai, Hikayat Abdullah, Syair Ken Tambuhan, Bustan al-Katibin, Hikayat Inderaputera dan Pantun Melayu : Bingkisan Permata.
No comments:
Post a Comment