Friday, May 31, 2013

KONSEP KARYA AGUNG MELAYU

Karya Agung Melayu ialah karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu dahulu kala dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu.

KARYA AGUNG

Karya Agung

Salah satu bukti atau bahan yang boleh dijadikan rujukan terhadap sesuatu bangsa ialah karyanya. Hal ini demikian kerana sebuah karya adalah cerminan bangsa yang menjadi latar dalam karya tersebut pada waktu karya itu dihasilkan. Sebuah karya adalah seperti rakaman yang mencatatkan perihal masyarakat dan perlakuannya. Karya yang ketika dihasilkan mungkin hanya bertujuan sebagai hiburan atau sebagai hobi untuk mengisi masa lapang, tidak mustahil akan menjadi rujukan pada masa hadapan. Hal ini demikian kerana, apabila sesebuah masyarakat itu tidak lagi wujud, hanya karya yang menjadi tinggalan sebagai bukti kewujudan mereka serta aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh mereka. Lazimnya, sesebuah karya akan merakam kehidupan sesebuah masyarakat walaupun tidak secara khusus tetapi cukup untuk mengidentitikan masyarakat tersebut. Karya-karya hebat akan bertahan dalam jangka masa yang lama sehingga boleh diteliti oleh generasi yang akan datang selepasnya. Karya hebat seperti ini disebut sebagai karya agung.            

             Karya agung merupakan karya klasik yang telah meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Karya agung dianggap sebagai pembentuk dan cerminan budaya masyarakat yang menghasilkannya. Ia juga melambangkan daya cipta dan kerativiti sesuatu bangsa untuk melambangkan identitinya yang tersendiri. Hal ini menyebabkan falsafah, pemikiran, karya seni, budaya dan sastera yang terdapat dalam karya agung menjadi pegangan dan panduan bagi masyarakat yang yang hidup pada zaman ini. Karya-karya agung ini mengungkapkan pelbagai perkara termasuklah ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang. Kebanyakan karya agung yang ada pada hari ini dikaji untuk diketahui isi kandungannya dan ada di antara isi kandungan itu masih berguna sehingga hari ini dan dipelajari. Keadaan ini membuktikan bahawa karya agung itu adalah satu hasil penulisan yang berkualiti dan ditulis oleh orang-orang yang berilmu pengetahuan tinggi dalam masyarakat tersebut.

Karya Agung Melayu

Karya agung Melayu ialah karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis, dan pemikir bangsa Melayu pada zaman dahulu dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral, dan visi bangsanya. Kesemuanya itu digambarkan dalam bentuk sastera dan seni yang tinggi niainya sehingga kesan seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu. Tamadun Melayu banyak terbentuk daripada tradisi sastera agung ini. Karya agung Melayu bererti karya yang ditulis atau diungkapkan dalam bahasa Melayu. Karya-karya ini termasuklah pepatah, pantun, penglipur lara dan lain-lain. Ia tidak mengambil kira kelompok bangsa atau etnik dalam kawasan dunia Melayu ini sama ada orang semenanjung Tanah Melayu, Brunei, Aceh, Bugis, Minangkabau dan lain-lain. Sempadan geogerafi tidak menjadi persoalan, sebaliknya pemikiran yang mampu dicetuskan dalam bentuk dan gaya yang luar biasa, sistem nilai dan kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu turun-temurun itu yang diutamakan.                                                                                                           

          Antara karya-karya Agung Melayu yang terkenal ialah Sulalatus Salatin atau juga dikenali sebagai Sejarah Melayu. Karya agung ini telah dihasilkan oleh seorang tokoh yang berilmu pada zamannya iaitu Tun Sri Lanang. Ia merupakan naskhah tertua yang pernah ditemui dan dikarang di Johor pada tahun 1612 atas titah raja. Episod-episod yang dipaparkan dalam karya ini memberi maklumat penting tentang keturunan raja-raja Melayu serta adat istiadatnya, dan peristiwa-peristiwa bersejarah yang melibatkan kerajaan Melayu Melaka dan tanah jajahannya. Selain itu, Hikayat Hang Tuah yang dikarang sekitar tahun 1641 hingga 1736 yang merupakan satu-satunya epik Melayu yang mewakili bangsa itu sendiri tentang cita-citanya, kebolehannya, dan sikap hidupnya pada suatu zaman. Pengarang mengakhiri karyanya dengan meninggalkan semangat yang kekal dalam minda Melayu hingga hari ini iaitu ‘Takkan Melayu Hilang di Dunia’. Karya-karya agung yang lain adalah seperti Tuhfat al- Nafis, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Acheh, Hikayat Raja Pasai, Hikayat Abdullah, Syair Ken Tambuhan, Bustan al-Katibin, Hikayat Inderaputera dan Pantun Melayu : Bingkisan Permata.    

         











Senarai Karya Agung
1. Sulalatus Salatin
2. Hikayat Hang Tuah
3. Tuhfat Al-Nafis
4. Hikayat Merong Mahawangsa
5. Hikayat Raja Pasai
6. Hikayat Raja Aceh
7. Pantun Melayu : Bingkisan Permata
8. Syair Ken Tambuhan
9. Undang-undang Melaka
10. Hikayat Abdullah
11. Cerita Lipur Lara
12. Bustan al-Katibin
13. Cerita Jenaka Melayu
14. Hikayat Panji Jayeng Kusuma
15. Hikayat Inderaputera









NILAI ILMU DAN MAKLUMAT

ADAT PERPATIH
Adat Perpatih berasal dari tanah Minangkabau, Sumatera, diasaskan oleh seorang pemimpin Minang bernama Sutan Balun yang bergelar Dato' Perpatih Nan Sebatang. Adat ini adalah amalan dan peraturan hidup yang ditentukan bagi masyarakat Minangkabau yang rata-ratanya adalah petani ketika itu. Tidak ada tarikh yang tepat dicatatkan bila adat ini diwujudkan. Tetapi Adat Perpatih telah dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) oleh perantau-perantau Minangkabau pada abad ke 14 Masihi.
Di Malaysia, Adat Perpatih ini masih lagi wujud dan diamalkan oleh masyarakat Melayu di Negeri Sembilan dan sebahagian dari Melaka terutamanya Masjid Tanah. Majoriti mereka adalah keturunan Melayu Minangkabau.

STRUKTUR MASYARAKAT ADAT PERPATIH
Masyarakat Adat Perpatih terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu Perut Suku dan Luak. Perut adalah unit sosio-politik yang terkecil di mana anggota sesuatu perut itu adalah berasal daripada moyang (keturunan perempuan) yang sama. Mereka ini sangat rapat dan lazimnya tinggal di sesuatu perkampungan atau kawasan yang sama. Setiap perut mempunyai seorang ketua yang digelar Buapak.Buapak ini dipilih oleh anak-anak buah di dalam sesuatu perut berkenaan. Kumpulan yang kedua ialah suku. Suku dibentuk oleh beberapa perut yang menjadikan keluarga berkenaan semakin besar. Suku diketuai oleh seorang ketua yang digelar Dato' Lembaga. Kumpulan ketiga ialah Luak. Luak adalah unit kawasan pentadbiran dari segi adat di mana ada empat luak utama iaitu RembauSungai UjungJohol dan Jelebu. Setiap luak diketuai oleh seorang Undang. Selain daripada empat luak utama ini ada satu lagi luak yang kelima dipanggil Luak Tanah Mengandung. Luak Tanah Mengandung ini adalah terdiri daripada lima luak kecil di Seri Menanti iaitu Luak InasLuak Ulu MuarLuak Gunung Pasir,Luak Terachi dan Luak Jempol. Setiap luak kecil ini ditadbirkan oleh seorang ketua yang bergelar Penghulu Luak.
Adat Perpatih ini diwariskan dari generasi ke generasi melalui kata-kata perbilangan. Ia merangkumi pelbagai aspek kehidupan masyarakat termasuk soal harta pusaka, perlantikan pemimpin, hukum nikah kahwin, amalan bermasyarakat, sistem menghukum mereka yang melanggar adat atau melakukan kesalahan dan pelbagai aspek lagi. Setiap peraturan atau adat itu ada perbilangannya dan setiap peraturan itu ada rasional atau sebab-sebab terjadinya hukum atau adat itu.
Perlantikan pemimpin, misalnya, banyak yang menyamakan sistem Adat Perpatih dengan amalan demokrasi. Contohnya ialah perlantikan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan di mana bukannya melalui keturunan dari bapa ke anak tetapi adalah melalui pemilihan oleh Undang Luak yang empat iaitu Undang RembauUndang Sungai UjungUndang Johol danUndang Jelebu. Empat undang ini akan bermesyuarat untuk melantik salah seorang keturunan dari raja Pagar Ruyung untuk menjadi Yang DiPertuan. Undang Luak pula dilantik oleh Dato'-Dato' Lembaga di luak (daerah) masing-masing. Dato' Lembaga ini pula adalah pemimpin-pemimpin yang dilantik secara muafakat oleh pemimpin-pemimpin keluarga yang digelarBuapak. Oleh itu secara keseluruhannya kuasa melantik pemimpin itu sebenarnya berada di tangan rakyat biasa.Inilah satu sistem Adat Perpatih yang ada persamaan dengan demokrasi.

PRINSIP-PRINSIP ADAT PERPATIH
Adat Perpatih mempunyai lima prinsip utama.
1.       Keturunan dikira melalui nasab ibu: Adat Perpatih memberi keistimewaan kepada perempuan yang dianggap bonda kandung iaitu ibu yang melahirkan anggota-anggota masyarakat. Seseorang individu itu adalah anggota suku ibunya dan bukan anggota suku bapanya.
2.     Tempat Kediaman adalah di kawasan ibu isteri: Apabila berlangsungnya sesuatu perkahwinan, si lelaki akan meninggalkan kampung halamannya dan menetap di kawasan ibu isterinya sebagai orang semenda. Pada zaman dahulu si lelaki akan mengusahakan tanah keluarga isterinya.
3.     Perempuan mewarisi pusaka, lelaki menyandang saka: Hanya lelaki sahaja yang berhak menyandang saka (jawatan-jawatan dalam adat) manakala perempuan adalah mewarisi harta pusaka keluarga ibunya.
4.     Perkahwinan seperut atau sesuku adalah dilarang: Dalam sesuatu perut dan suku, hubungan adalah rapat dan si lelaki menganggap perempuan dalam perut atau sukunya adalah saudara perempuannya. Begitu juga sebaliknya. Oleh itulah perkawinan sesama suku ini adalah terlarang. Perempuan yang berkahwin sesama suku akan hilang haknya untuk mewarisi harta pusaka ibunya manakala lelaki pula akan hilang hak untuk menyandang sebarang jawatan dalam adat.
5.     Orang luar boleh menjadi ahli sesuatu suku: Untuk tujuan perkahwinan atau waris mewarisi, dibenarkan orang luar untuk menjadi ahli sesuatu suku dengan cara melalui upacara berkedim. Dalam upacara ini seseorang itu akan bersumpah taat setia dan bersaudara dengan ahli-ahli suku yang akan disertainya.

ADAT TEMENGGUNG
Adat Temenggung merupakan undang-undang adat Minangkabau yang diamalkan di Negeri-Negeri Melayu (pada asalnya bermula daripada Kesultanan Melayu Melaka sebelum diwarisi turun temurun oleh negeri-negeri Melayu yang lain) kecuali Negeri Sembilan yang mengamalkan Adat Perpatih. Adat ini diasaskan oleh Datuk Ketemenggungan (abang tiri kepada Datuk Perpatih Nan Sebatang yang mengasaskan Adat Perpatih) yang berasal dari Sumatera.[1]
Wujudnya istilah "Adat Temenggung" adalah berkait dengan munculnya istilah "Adat Perpatih" kerana istilah ini tidak ada dalam budaya Melayu yang awal.[2] Disebabkan oleh Adat Temenggong diamalkan di hampir semua negeri-negeri Melayu, maka Adat Temenggong telah bercampur dengan undang-undang adat Melayu sedia ada yang mempunyai nama yang berbeza mengikut negeri. Antaranya ialah Undang-Undang Melaka, Undang-Undang Johor dan Undang-Undang Kedah.

Ciri-ciri Adat Temenggung

  • *      Sistem kekeluargaan


Dalam sistem Adat Temenggung, sistem kekeluargaan bercorak seimbang iaitu kedudukan keluarga sebelah ibu dan bapa sama penting. Adat Temenggung membenarkan perkahwinan dengan sesiapa sahaja asalkan tidak bercanggah dengan hukum syarak. Larangan perkahwinan dikenakan berdasarkan hukum syarak termasuklah berkahwin dengan orang yang mempunyai pertalian darah, perempuan yang bersaudara, orang yang bukan beragama Islam, saudara sepersusuan dan perempuan yang dicerai setelah perempuan itu berkahwin dan bercerai dengan suami yang lain.
Pengelompokan masyarakat tidak wujud dalam Adat Temenggung. Dengan kata lain, dalam susunan Adat Temenggung tidak terdapat sistem yang bercorak kesukuan seperti Adat Perpatih. Sebelum perkahwinan diadakan, upacara peminangan akan diadakan terlebih dahulu. Jika persetujuan telah dicapai dalam proses peminangan, maka persetujuan itu akan diikatkan dengan peraturan adat. Jika satu pihak itu mungkir janji, maka hendaklah dibayar ganti rugi mas kahwin dan wang hantaran. Manakala jika pihak perempuan mungkir janji, maka harus dipulangkan hadiah pertunangan dan bayaran ganti rugi yang dipersetujui.
Dalam Adat Temenggung, kaum lelaki menjadi ketua keluarga dan nasab keturunan dikira daripada sebelah bapa. Adat Temenggung memberi keutamaan yang sama kepada pihak lelaki dan perempuan, tetapi pihak lelaki dilebihkan mengikut hukum syarak.

  • *      Sistem pewarisan harta


Mengikut sistem Adat Temenggung, lelaki berhak mewarisi harta yang lebih banyak daripada wanita. Dengan kata lain, jurai sebelah bapa lebih diutamakan. Jika berlaku perceraian, pembahagian harta antara suami dan isteri akan dilaksanakan mengikut hukum syarak. Adat Temenggung menjelaskan bahawa harta yang didapati semasa perkahwinan dikenali sebagai harta sepencarian yang kebiasaannya berkaitan dengan tanah. Harta sepencarian bagi isteri yang diceraikan akan dibahagikan secara sama rata. Jika isteri yang dicerai tidak bekerja, maka ia berhak mendapat satu pertiga bahagian sahaja. Jika penceraian itu atas permintaan suami, maka si suami mestilah menyediakan nafkah selama tiga bulan dan harta sepencarian haruslah dibahagi. Senjata dan alat-alat daripda besi diberi kepada suami dan peralatan rumah menjadi milik isteri. Pihak isteri juga berhak mendapatkan rumah atau kebun, manakala hutang-hutang dan cukai-cukai kepada suami.
Sebaliknya, jika penceraian disebabkab oleh perangai buruk isteri, maka si isteri hanya kehilangan tempat tinggal dan undang-undang menetapkan bahawa si suami harus membayar sejumlah tertentu emas. Jika penceraian anatara suami dan isteri disebabkan isteri meminta cerai kerana tiga kali mendapati perangai buruk suami dan telah berjaya mendapatkan cerai, isteri tersebut harus menebus dirinya dengan memulangkan tempat tinggal, sementara harta yang berpindah milik terserah kepada suami.

  • *      Sistem pemerintahan


Dari segi pemerintahan, Adat Temenggung mengamalkan sistem pemerintahan yang bercorak autocrat iaitu raja mempunyai kuasa mutlak. Raja dilantik berdasarkan keturunan dan perlantikan dilaksanakan menerusi upacara pertabalan. Seseorang raja yang mangkat akan digantikan oleh puteranya yang sulung. Jika raja tersebut tidak mempunyai putera, hak pewarisan takhta akan jatuh kepada adinda lelakinya. Namun, jika kedua-duanya tiada barulah Raja Bendahara akan dilantik menjadi Sultan.
Menerusi Adat Temenggung, raja-raja Melayu diperuntukkan dengan keistimewaan khas seperti unsur daulat dan derhaka yang tidak boleh dinikmati oleh golongan lain. Raja-raja dipercayai mempunyai kuasa sakti dan sesiapa yang melanggar perintah raja akan menerima hukuman yang berat, termasuklah hukuman bunuh. Adat Temenggung juga menperuntukkan kuasa kepada golongan pembesar. Bendahara merupakan ketua tadbir tinngi selepas kuasa raja. Bendahara kebiasaannya terdiri daripada kerabat diraja. Laksamana pula merupakan pegawai yang bertanggungjawab menjaga keamanan khususnya di lautan. Bendahari pula bertugas sebagai pegawai yang bertanggungjawab dalam menguruskan hal ehwal kewangan negeri. Syahbandar pula menjaga pelabuhan dan seterusnya hulubalang yang merupakan ketua perajurut. Hulubalang biasanya terdiri daripada tokoh-tokoh perajurut yang pintar dan cekap dalam teknik peperangan.
Jajahan pula ditadbir oleh pembesar-pembesar kerajaan yang ditugaskan untuk memungut cukai dan menjaga keamanan di daerah-daerah. Biasanya pembesar yang berkuasa akan dilantik dalam kalangan kerabat diraja yang bergelar Tengku. Jawatan yang terakhir dalam sistem Adat Temenggung ialah Penghulu. Penghulu berperanan dalam mentadbir kampung dan sekaligus berperanan dalam membantu pembesar di jajahan.

  • *      Pelaksanaan Undang-undang


Dari segi pelaksanaan undang-undang, Adat Temenggung meletakkan undang-undang bagi tujuan menghukum dan berpegang kepada prinsip pembalasan. Ini bertujuan memberi amaran dan iktibar kepada orang lain serta member pembalasan kepada pesalah. Adat Temenggung memperuntukkan suatu hukuman yang keras dan kaedah ini dianngap akan meninggalkna kesan kepada orang lain.
Hukuman mati adalah hukuman yang paling berat dan hukuman ini dijatuhkan terhadap kesalah membunuh, memfitnah atau menderhaka kepada raja.Namun, hukuman ini tidak dilakukan sewenang-wenangnya tetapi diubahsuai mengikut keadaan masyarakat setempat serta memerlukan bukti yang kukuh terhadap sesuatu kesalahan. Misalnya, hukum Kanun Melaka memberi kelonggaran hukuman bagi seseorang yang mencuri sedikit wang daripada dibunuh kepada dipotong tangan sahaja.

Dari segi prosedur membuktikan kesalahan, undang-undang dalam Adat Temenggung memerlukan bukti yang berbentuk keterangan yang disokong dengan butir-butir yang terperinci untuk membuktikan seseorang itu bersalah atau sebaliknya. Dari segi kuasa menjalankan sesuatu hukuman terletak pada Sultan, semua pembesar dan termasuk penghulu. Namun, bagi kesalahan yang serius atau jumlah dendanya melebihi $ 25.00, hanya Sultan berhak membuat keputusan.

Tuesday, May 28, 2013

ULASAN KARYA AGUNG  PANTUN MELAYU: BINGKISAN PERMATA

Karya agung Melayu, Pantun Melayu: Bingkisan Permata yang dikaji dan diperkenalkan oleh Harun Mat Piah menghimpunkan lebih 4000 rangkap pantun, puisi istimewa ciptaan orang Melayu. Buku ini memuatkan pelbagai jenis dan bentuk pantun, yang meliputi tema  dan isi yang luas serta pelbagai. Bingkisan Permata merupakan tajuk kecil daripada judul koleksi pantun ini sesuai dengan konsep bingkisan, iaitu bungkusan (barang kiriman, buah tangan) yang biasanya disertai surat untuk disampaikan kepada orang yang dikasihi dan dihormati. Permata merujuk kepada pantun yang menjadi warisan budaya masyarakat Melayu, manakala penerima yang dimaksudkan ialah masyarakat atau bangsa Melayu di seluruh Nusantara yang mewarisi tradisi ini.

Oleh itu, sesuai dengan konsep bingkisan yang diketengahkan oleh karya ini, buku ini telah dibahagikan kepada empat bahagian, iaitu Bingkis Pemula, Bingkis Bicara, Bingkis Kasih dan Bingkis Penutup. Bingkis Pemula merupakan himpunan pantun dengan maksud memulakan bicara, majlis atau warkah. Bingkis ini dimulai dengan “Awal Bismillah” yang merupakan kata alu-aluan memulakan majlis; diikuti oleh pantun-pantun ringan yang membawa maksud jenaka dan usik-mengusik. Bingkis Bicara pula mengetengahkan tema-tema pantun yang agak berat, bermula tentang ‘Adat dan Etika’, ‘Budi dan Adab’, ‘Agama dan Pengajaran’, ‘Peribahasa, Kiasan dan Ibarat’ dan kemudian tentang ‘Perantauan dan Nasib’.
Pantun-pantun yang mengangkat tema percintaan pula dihimpunkan dalam Bingkis Kasih. Misalnya dalam ‘Cinta Bersemi’ ialah pantun yang membawa maksud usik-mengusik, berkenalan dan berjanji, diikuti dengan ‘Hasrat Tercapai’ yang menggambarkan kegembiraan dalam hidup berkasih dengan tercapainya cita-cita dan harapan para kekasih, misalnya untuk sehidup semati dalam ikatan perkahwinan. Bab ini diakhiri dengan tema ‘Kasih Terhalang’ dengan maksud harapan yang tidak kesampaian, terhalang oleh peristiwa-peristiwa tertentu. Karya ini diakhiri dengan Bingkis Penutup yang merupakan himpunan pantun sebagai penutup pembicaraan.
Sebagai sebuah karya agung, Bingkisan Permata menghimpunkan rakaman kebijaksanaan masyarakat Melayu lama dalam membuat pengamatan yang tajam terhadap keadaan dan perkara yang berlaku dalam kehidupan mereka. Pantun-pantun yang tercipta mengandungi pemikiran atau falsafahnya yang tersendiri dalam menjalankan peranannya sebagai medium untuk berkomunikasi dan berhibur dan pada masa yang sama mendidik khalayak pembaca dengan nilai-nilai yang positif.


BINGKIS PEMULA

Bingkis Pemula merangkumi pantun-pantun pembuka bicara. Selain itu, Bingkis Pemula juga turut mengetengahkan pantun-pantun yang mengandungi tema yang ringan, iaitu pantun jenaka, teka teki dan sindiran serta pantun kanak-kanak.


 Pembuka bicara
Menurut  Harun Mat Piah (2001: xxvi) pantun pembuka bicara digunakan untuk memulakan sesuatu bicara, majlis atau warkah. Pada zaman moden, pantun pembuka bicara telah digunakan dalam majlis rasmi untuk mengucapkan selamat datang, kata sanjungan dan pujian,  ucapan terima kasih dan perpisahan (Mohd Rashid Md Idris, 2011:159). Contohnya:

Sirih lipat sirih pinang,
            Sirih dari Pulau Mutiara;
Pemanis kata selamat datang,
            Awal Bismillah pembuka bicara.
                                                                                                      [Bingkisan Permata, 2001:13]

Pantun ini sering  digunakan pada sesuatu majlis rasmi  pada masa kini  untuk meraikan jemputan  atau hadirin  yang hadir dan dimulai dengan lafaz bismillah sebagai kata alu-aluan sebelum memulakan majlis tersebut. 

Bukan lebah sebarang lebah,
            Lebah bersarang di rumpun buluh;
Bukan sembah sebarang sembah,
            Sembah menyusun sepuluh jari.
                                                                                                    [Bingkisan Permata, 2001:13]

Pantun ini digunakan oleh pembesar atau rakyat ketika sistem pemerintahan beraja pada zaman dahulu. Lazimnya,  sebelum menyampaikan sesuatu berita atau  perkhabaran pembesar atau rakyat jelata akan menjadikan pantun ini sebagai pemula bicara sebelum mereka menyampaikan tujuan mereka yang sebenarnya. Hal ini demikian kerana pada zaman dahulu raja merupakan ketua pemerintah yang sangat disanjung dan dihormati oleh rakyat dan pantun ini digunakan untuk memuliakan kedudukan sultan itu sendiri sebagai pemerintah yang berkuasa.


 Jenaka
Memandangkan masyarakat Melayu lama tidak mempunyai saluran atau media yang canggih untuk menghiburkan hati setelah penat bekerja, maka pantun jenaka dijadikan sebagai medium untuk mereka mengubat lara di hati dan juga melepaskan segala kelelahan sama ada dari segi fizikal dan mental. Hal ini demikian kerana pantun tersebut mengandungi unsur kelucuan yang dapat  menimbulkan keriangan dalam kehidupan seharian mereka. Contohnya:


Belimbing manis rebah di tebang,
Kemiri tanam berleret-leret;
Kambing berbaris tengah padang,
Biri-biri menghembus trompet.
                 [Bingkisan Permata, 2001:56]

Jika lengang dalam negeri,
Marilah kita pergi ke kota;
Hairan tercengang kucing berdiri,
Melihat tikus naik kereta.
                 [Bingkisan Permata, 2001:61]


Teka-Teki
Pada zaman dahulu pantun teka-teki digunakan sebagai medium untuk menguji minda atau  kebijaksanaan mereka. Menurut  Mohd Rashid Md Idris (2011:127) sifat yang terkandung pada pantun teka teki yang memerlukan jawapan  merupakan jawapan adalah merupakan satu daripada alat untuk menggerakkan cara berfikir secara spontan dan membina kemahiran berfikir dengan tepat. Lazimnya, teka teki ini akan disampaikan kepada khalayak ramai dan keadaan tersebut akan menimbulkan suasana riang dan seterusnya akan mengeratkan hubungan silaturrahim sesama  mereka. Contohnya:


Bawa kerakap dengan batangnya,
Buat bekal pergi ke bendang;
Cuba teka apa binatangnya,
Berbunyi seperti gong dan gendang.,
                                                                                        [Bingkisan Permata, 2001:55]

Orang Sunda ke Pulau Barus,
            Sarat perahunya bermuat kopi;
Apakah benda badannya kurus,
Digenyeh kepala terbitlah api.
                                                                                                 [Bingkisan Permata, 2001:70]

Sindiran
Penggunaan pantun adalah untuk menghindarkan kata-kata kasar dan tajam ketika  menyindir perbuatan atau sifat seseorang yang kurang baik atau salah. Hal ini demikian kerana masyarakat Melayu kaya dengan kehalusan dan kesopanan ketika berbual dan sering menyampaikan sesuatu mesej dengan cara terselindung. Menurut Nor Hashimah Jalaluddin dalam Mohd Rashid Md Idris (2011:74) dalam masyarakat Melayu perkara yang hendak disampaikan perlu dibicarakan dengan gaya yang sopan dan tertutup, iaitu secara terselindung dengan menggunakan tutur kata yang manis. Jika sindiran-sindiran tersebut disampaikan secara berterus terang akan mewujudkan perasaan yang tidak harmonis seperti terkilan atau tersinggung dan juga akan mewujudkan perasaan sakit hati yang akhirnya membawa perselisihan faham. Penggunaan pantun akan meninggalkan kesan yang lebih tepat dan tajam kepada seseorang yang disindir.


Apa guna berkain batik,
Kalau tidak memakai capal;
Apalah guna beristeri cantik,
Kalau tak pandai menumbuk sambal.
                 [Bingkisan Permata, 2001:55]

Pantun tersebut menyampaikan sindirannya terhadap sikap orang perempuan yang telah berkahwin yang hanya sibuk mencantikkan diri tetapi tidak pandai menguruskan rumah tangga dengan sebaiknya.


Hingguk-hingguk goyang-goyang,
Nasi lemak gulai lembu;
Taruh janggut tidak sembahyang,
Buat semak bawah dagu.
                                                                                       
                                                                                            [Bingkisan Permata, 2001:61]

Solat merupakan amalan pertama yang akan dihisab oleh Allah pada Hari Pembalasan kelak. Hal ini demikian kerana solat merupakan tiang agama yang mampu mencegah manusia daripada melakukan kemungkaran terhadap Allah S.W.T. Pantun ini sebenarnya menyindir sikap orang lelaki yang  menunjukkan perwatakan yang alim tetapi sebenarnya tidak mengamalkan ajaran Islam  dalam hidupnya.


 Pantun Kanak-Kanak

Menurut Sulaiman Masri, Abdullah Yusuf dan Mohd Ra’in Shaari (2006: 313)  pantun kanak-kanak digunakan memberi nasihat. Contohnya:


Ayun anak ayun,
Ayun sampai hujung serambi;
Bangun anak bangun,
Jangan tidur meninggi hari.
                                                                                        [Bingkisan Permata, 2001:19]

Burung kenek-kenek,
Terbang dalam hutan;
Pesan datuk nenek,
Emak marah jangan lawan.
                                                                                        [Bingkisan Permata, 2001:25]

Berdasarkan pantun-pantun di atas jelaslah bahawa pantun kanak-kanak  digunakan untuk memberi  nasihat dan juga untuk  mendidik kanak-kanak  untuk menunjukkan sikap atau tingkah laku yang baik untuk menjadikan mereka insan yang berakhlak mulia pada suatu masa nanti.

 BINGKIS BICARA
Bingkis Bicara merupakan sub topik kecil yang terdapat dalam karya Bingkisan Permata. Bingkis Bicara mengandungi perbicaraan mengenai tema-tema yang agak serius sesuai dengan falsafah Melayu. Antara tema yang dibicarakan ialah tentang “ Adat dan Etika”, “Budi dan Adab”, “Agama dan Pengajaran”, Peribahasa, Kiasan dan Ibarat” serta “Perantauan dan Nasib”.


 Agama dan Pengajaran
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) agama bermaksud kepercayaan pada Tuhan dan sifat-sifat serta kekuasaan Tuhan dan penerimaan ajaran serta perintah-Nya. Konsep agama dalam pantun berdasarkan konteks masyarakat Melayu mempunyai kaitan yang amat rapat dengan nilai dan akhlak Melayu-Islam. Menurut Ibnu Manzur (1990:86) dalam Mohd Rashid Md Idris (2011), akhlak merupakan gambaran dalaman manusia meliputi sifat diri mereka sendiri yang memberi makna tersendiri sesuai dengan status mereka diciptakan sebagai makhluk.
            Akhlak memainkan peranan yang sangat penting dalam proses pembentukan peribadi Muslim. Akhlak yang merupakan kelakuan bermoral merangkumi nilai-nilai seperti merendah diri, benar, hormat-menghormati, adil dan saksama dan sebagainya. Dalam masyarakat Melayu, mereka yang dianggap beretika, bermoral dan berakhlak lazimnya akan dipandang tinggi oleh masyarakat. Keseluruhan akhlak masyarakat Melayu yang terdidik dengan adat dan agama itu akan membentuk konsep budi yang menjadi sanjungan masyarakat Melayu sejak dahulu sehinggalah sekarang. Contoh pantun berkaitan dengan akhlak yang terdapat dalam karya Bingkisan Permata ialah:


Bawa aksin terlalu indah,
            Ombak bersusun berlari-lari;
Jika berkata yang tidak berfaedah,
            Terlebih baik mendiamkan diri.
[Bingkisan Permata, 2001: 139]


 Budi dan Adab
Budi bermaksud akal atau kebijaksanaan (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010: 212). Menurut Mohd Rashid Md Idris (2011), budi dapat ditakrifkan sebagai sikap pemurah dan berbuat baik kepada orang lain. Dalam masyarakat Melayu, budi merupakan nilai yang terpuji. Amalan balas-membalas budi amat penting kerana ia dapat mewujudkan semangat kerjasama, tolong-menolong, dan bantu-membantu untuk kebaikan. Dalam masyarakat Melayu, kebanyakan pantun budi merujuk kepada kepentingan berbudi dalam masyarakat. Antara pantun yang diketengahkan dalam Bingkisan Permata ialah:


Limau manis dimakan manis,
            Manis sekali rasa isinya;
Dilihat manis dipandang manis,
            Manis sekali hati budinya.
[Bingkisan Permata, 2001: 91]

            Di samping itu, banyak juga pantun Melayu yang memaparkan penghargaan masyarakat Melayu terhadap budi atau mengenang budi. Dalam masyarakat Melayu, mereka sangat menghargai orang yang berbudi. Menjadi kelaziman orang yang berbudi akan sentiasa dikenang, diingati, dan disebut selalu walaupun kadang-kala individu yang berbudi itu telah meninggal dunia. Contohnya dapat dilihat melalui pantun tersebut:


Ambil tali panjang sedepa,
            Makan manggis dengan bijinya;
Sampai mati takkan lupa,
            Kerana manis hati budinya.
[Bingkisan Permata, 2001: 97]

Perkataan adab diambil daripada bahasa Arab “addaba” yang bermaksud mengajarkan adab (Asmawati Suhid, 2009:13). Manakala menurut takrifan Kamus Dewan Edisi Keempat (2007: 7), adab ialah tingkah laku serta tutur kata yang halus (sopan), budi bahasa, budi pekerti yang halus, kesopanan atau cara seseorang berkelakuan dalam situasi tertentu. Menurut Rosenthal (1992) adab merupakan istilah yang lebih luas kerana ia memasukkan perkara etika, moral, kelakuan dan adat istiadat, sebagai tambahan kepada perkara pembelajaran. Berdasarkan huraian tersebut, adab boleh juga dikaitkan dengan kesopanan dan ketertiban.

            Pantun dalam masyarakat Melayu banyak memerihalkan perlakuan atau tingkah laku seseorang yang dinilai dari segi baik dan buruk. Perilaku yang baik merujuk kepada perilaku yang tertib dan sopan seperti memberi salam ketika bertemu, menghormati ibu bapa dan orang tua, membongkokkan badan ketika lalu di depan orang tua dan banyak lagi. Kesempurnaan budi dan adab sangat dipentingkan dalam kehidupan. Kata-kata yang lemah lembut dan beradab adalah inti peradaban kepada bangsa. Adab dan sopan juga adalah kecantikan budi pekerti yang terpuji yang sangat disanjung sejak dahulu hingga sekarang. Contoh pantun yang berkait dengan adab ialah:           


Apa guna asam paya,
            Kalau tidak menggulai ikan;
Apa guna lagak dan gaya,
            Kalau bahasa tidak dihiraukan.
[Bingkisan Permata, 2001: 101]

Tanah baik negerinya besar,
            Banyak orang pergi mari;
Ramah baik lagi penyabar,
            Banyaklah orang mesra di hati.
[Bingkisan Permata, 2001: 175]


 Adat dan Etika
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), adat didefinisikan sebagai peraturan yang sudah diamalkan sejak dahulu kala dalam suatu masyarakat sehingga menjadi hukuman atau peraturan yang harus dipatuhi. Menurut Hashim Haji Musa (2002), etika ditakrifkan sebagai kod dan peraturan yang mengatur cara hidup dan tindak tanduk sesebuah masyarakat atau organisasi. Adat sangat sinonim dalam masyarakat Melayu kerana ia sering diaplikasikan dalam aktiviti seharian. Dalam masyarakat Melayu, adat dihormati, dijunjung, dan disanjung tinggi. Pelanggaran adat Melayu dianggap sebagai perbuatan sumbang dan dicemuh oleh anggota masyarakat (Mohd Rashid Md Idris, 2011: 218). Dalam Bingkisan Permata jelas terakam nilai ini, misalnya:


Menanam kelapa di Pulau Bukum,
            Tinggi sedepa sudah berbuah;
Adat bermula dengan hukum,
            Hukum bersandar di kitab Allah.
[Bingkisan Permata, 2001: 89]
Berbuah lebat pohon mempelam,
            Rasanya manis dimakan sedap;
Bersebarlah adat seluruh alam,
            Adat pusaka berpedoman kitab.

[Bingkisan Permata, 2001: 80]

            Walaupun budaya menekankan kepentingan memelihara adat, namun tidak semestinya masyarakat Melayu perlu bersikap menuruti tanpa memikirkan baik buruknya. Malah, undang-undang adat yang lapuk dan tidak relevan lagi wajar diperbaharui demi kepentingan masyarakat Melayu seluruhnya (Mohd Rashid Md Idris, 2011: 218). Jelaslah bahawa adat Melayu boleh dijadikan panduan yang boleh dipatuhi namun adat ini perlulah disesuaikan mengikut situasi sosial ataupun relevan dengan zaman. Antara pantun adat istiadat yang terdapat dalam karya Bingkisan Permata ialah:


Orang Padang mencuci benang,
            Dilipat maka dipertiga;
Kalau direntang hanya panjang,
            Elok singkatkan sekadar berguna.
[Bingkisan Permata, 2001: 91]


            Selain itu juga, pantun kategori ini lazimnya dijadikan perantaraan dalam majlis-majlis adat istiadat orang Melayu, misalnya majlis merisik, pertunangan, perkahwinan (akad nikah) atau dalam pembukaan sesuatu upacara tertentu. Contohnya dapat dilihat melalui pantun tersebut:

Masuk gelunggung berpelita,
            Anak terkukur di tebing tinggi;
Alangkah baik untung kita,
            Sirih berlipat datang sendiri.

[Bingkisan Permata, 2001: 89]


  Perantauan dan Nasib
Masyarakat Melayu sering dikaitkan dengan kegiatan merantau dan berdagang. Buktinya, pada hari ini kita dapat melihat masyarakat Melayu bertebaran sehingga ke pelosok dunia. Kegiatan merantau dan berdagang mempunyai pelbagai tujuan, antaranya ialah untuk mengembara, berdagang (berniaga), membawa diri kerana kecewa, berkhidmat kepada raja, mencari rezeki, perkahwinan, menyebarkan agama dan sebagainya (Mohd Rashid Md Idris, 2011: 219). Contoh pantun yang terdapat dalam karya Bingkisan Permata ialah:


Masak nasi dibuat bubur,
            Bubur dicampur dengan gula;
Hati duka patut dihibur,
            Supaya jangan menjadi gila.
[Bingkisan Permata, 2001: 259]



Bengis sungguh orang pangkalan,
            Lalu-lalang perahu dilarang;
Menangis dagang sepanjang jalan,
            Mengenang nasib di negeri orang.
[Bingkisan Permata, 2001: 244]

            Biasanya dalam masyarakat Melayu, nilai ini merupakan satu ungkapan untuk memberi peringatan kepada individu supaya pandai membawa diri, baik hati, suka menolong dan menabur jasa dan tidak sombong supaya mereka dikasihi semasa hidup serta diingati setelah meninggal dunia. Contoh nilai ini dapat dilihat dalam pantun-pantun berikut:


Pisang kelat digonggong helang,
            Jatuh ke lubuk Inderagiri;
Jikalau berdagang di rantau orang,
            Baik-baik membawa diri.

[Bingkisan Permata, 2001: 263]


 BINGKIS KASIH
Bingkis Kasih merupakan sub-topik ketiga yang terdapat dalam karya Bingkisan Permata yang membicarakan mengenai percintaan dalam tahap-tahap yang umum yang terjalin sesama manusia, iaitu antara golongan muda-mudi ataupun pasangan suami isteri. Bahagian ini membicarakan mengenai cinta dan kasih sayang yang dapat diklasifikasikan kepada berkenalan dan usik-mengusik, berkasih, bersetia dan kepuasan berkasih, cemburu dan bercerai, serta kegagalan dan penyesalan yang selari dengan Melayu. Terdapat tiga tema di dalam bab ini, iaitu ‘Cinta yang Bersemi’, ‘Hasrat Tercapai’ dan ‘Kasih Terhalang’. Pantun kasih sayang ini melibatkan percintaan dua orang kekasih yang bermula daripada titik perkenalan sehinggalah membawa perpisahan dan semua ini berkait rapat dengan soal hati dan perasaan serta fitrah seorang manusia yang ingin disayangi dan menyayangi orang lain.


Cinta Bersemi
Bercinta merupakan saat paling manis dalam pengalaman hidup seseorang. Melalui perkenalan seperti inilah timbulnya bibit-bibit kemesraan untuk memahami isi hati masing-masing. Ketika itu, janji setia dilafazkan sebagai bukti cinta abadi, usik mengusik dan senda gurau ditimbulkan untuk mencari kesesuaian dan kesefahaman antara mereka hingga kadang kala ada yang merajuk dan minta dipujuk. Luahan perasaan sebegini disampaikan oleh pasangan kekasih itu melalui pelbagai cara.
            Dalam konteks falsafah, cinta merupakan sifat baik yang mewarisi semua kebaikan, perasaan belas kasih dan kasih sayang. Pantun ini berkisar mengenai sikap masyarakat yang suka mengusik (bergurau), terutamanya golongan lelaki yang suka mengusik wanita. Selain itu, bahagian ini turut menceritakan mengenai saat awal perkenalan di antara pasangan kekasih dan juga janji-janji yang dibina ketika sedang bercinta, termasuklah sanggup bersumpah setia. Pantun ini juga berkisar mengenai hal-hal perasaan dan hati naluri manusia seperti rayuan, kerinduan, kasih sayang dan sebagainya, contohnya seperti pantun di bawah:


Dipanah oleh Indera Sakti,
            Burung Dewata di pohon keranji;
kerana sama menaruh hati,
            di ekor mata kita berjanji.

    [Bingkisan Permata, 2001:310]

            Pantun di atas membawa maksud pasangan kekasih yang saling menyayangi, telah berjanji untuk setia, dan mungkin untuk sehidup semati. Dalam percintaan juga, manusia sanggup bersumpah demi membuktikan cinta mereka terhadap pasangan masing-masing, sehinggakan ada yang sanggup bersumpah menggunakan kalam Allah S.W.T. Contohnya seperti pantun di bawah:


Tun Teja Ratna Benggala,
            pandai membelah lada sulah;
jikakau tuan belum percaya,
            mari bersumpah kalam Allah.

                                                    [Bingkisan Permata, 2001:373]

Pantun tersebut menggambarkan bahawa ada yang sanggup bermain-main dengan kalam Allah seperti bersumpah, menjunjung dan mempersendakan al-Quran. Apalagi bersumpah soal setia, ada orang yang sanggup berkorban segala-galanya demi mempertahankan hubungan cintanya (seolah-olah sanggup membelah dada untuk membuktikan kesetiaannya) dan menghadapi sebarang rintangan yang melanda untuk beroleh kepercayaan kekasih hatinya. Contohnya:


Pergi ke pasar membeli bawal,
            beli mangga di Kampung Bali;
ibarat adinda barang dijual,
            sebut harganya boleh kubeli.

               [Bingkisan Permata, 2001:351]

Pantun di atas menggambarkan apabila sedang bercinta, semuanya akan kelihatan indah, manis dan menarik di mata masing-masing. Segala kekurangan yang ada pada setiap pasangan seolah-olah terlindung oleh rasa sayang dan segala rintangan yang datang dapat diatasi dengan sebaik-baiknya. Rangkap pantun ‘ibarat adinda barang dijual, sebut harganya boleh kubeli’ menunjukkan sang arjuna sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan kekasih hatinya walaupun sukar.


 Hasrat Tercapai
Pantun hasrat tercapai menggambarkan riak kegembiraan dalam hidup berkasih sayang dan tercapainya cita-cita dan harapan para kekasih, misalnya untuk sehidup semati dalam ikatan perkahwinan yang diredhai Allah. Semua orang berhasrat untuk sehidup semati dengan orang yang dicintainya dan kegembiraan akan terukir di wajah apabila segala impian dan harapan menjadi kenyataan.


Laksamana berempat di atas pentas,
            cukup berlima dengan gurunya;
bagai dakwat dengan kertas,
            sudah berjumpa dengan jodohnya.
                                                           
    [Bingkisan Permata, 2001:415]

Pantun di atas menggambarkan seseorang yang telah bertemu dengan jodohnya. Apabila sudah bertemu dan yakin dengan perasaan masing-masing, pasangan tersebut pasti akan menuju kepada ikatan yang diredhai, iaitu ikatan perkahwinan bagi mencapai hasrat untuk hidup bersama dan bahagia. Sesungguhnya, setiap makhluk telah diciptakan secara berpasang-pasangan, dan kita sebagai umat perlu yakin dengan urusan Allah.

Kasih Terhalang
Sungguhpun pengalaman bercinta cukup manis dan indah, tetapi adakalanya ianya berakhir juga dengan kegagalan. Kegagalan dalam percintaan amat pedih dirasakan oleh mereka yang mengalaminya. Dalam sesebuah perhubungan, tidak semuanya akan berakhir dengan kegembiraan. Hal ini (perpisahan) disebabkan oleh beberapa halangan yang timbul seperti halangan daripada keluarga, perubahan hati, terpaksa berpisah sementara ataupun berpisah buat selama-lamanya. Kisah percintaan yang menceritakan mengenai harapan dan kasih yang diingini, tetapi tidak tercapai (terputus di tengah jalan) akibat sikap tidak setia pasangan diungkapkan dalam pantun di bawah:


Ruak-ruak burung di kali,
            papan dirapat sampaian kain;
awak juga membuang diri,
            sebab mendapat muda yang lain.
                                     
  [Bingkisan Permata,  2001:466]


Pantun di atas berkisar mengenai kegagalan hubungan yang dikatakan berpunca daripada perubahan hati salah seorang daripada pasangan itu. Perubahan hati itu diungkap dengan begitu indah sekali melalui kiasan rangkai kata sudah mendapat muda yang baru. Halangan sementara pula seperti terpaksa berpisah untuk satu tempoh waktu tertentu, dan ini mungkin disebabkan oleh tuntutan kerja atau tugas yang penting, contohnya seperti pantun di bawah:

Apa khabar nasi di daun,
            nasi di dalam bagai nak basi;
apa khabar tinggal setahun,
            tinggal semalam bagai nak mati.

 [Bingkisan Permata,  2001:458]

Dalam pantun di atas, perpisahan yang terjadi walaupun seketika semenangnya amat sukar bagi insan yang sedang bercinta. Hidup berjauhan tanpa pasangan boleh menyebabkan rindu yang berpanjangan.





BINGKIS PENUTUP
Bingkis Penutup merupakan sub-topik terakhir dalam karya Pantun Melayu: Bingkisan Permata. Bingkis Penutup telah dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu Tanggapan dan Renungan, Salam Perpisahan dan Harapan.

Tanggapan dan Renungan
Bahagian ini mengetengahkan himpunan pantun berkaitan pengalaman dan etika dalam menjalani kehidupan bermasyarakat. Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) menyatakan etika merujuk kepada prinsip moral atau nilai-nilai akhlak yang menjadi pegangan seseorang individu atau sesuatu kumpulan. Masyarakat merupakan istilah yang digunakan untuk menerangkan komuniti manusia yang tinggal bersama-sama. Etika kehidupan bermasyarakat diketengahkan dalam bahagian ini bagi memberikan panduan dan pengajaran kepada khalayak pembaca agar mengamalkan nilai-nilai positif dan akhlak yang mulia dalam apa-apa jua aspek kehidupan.
Pantun digunakan oleh masyarakat Melayu untuk menggambarkan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu dengan menggunakan bahasa yang berselindung atau dengan kata lain secara tidak berterus terang. Melalui pantun, masyarakat Melayu dapat menyembunyikan perasaan sebenar sama ada kesal, kecewa dan dukacita terhadap sesuatu dengan penyusunan kata-kata yang indah. Hal ini bertujuan mengelakkan berlakunya pertelingkahan dan akhirnya mencetuskan pergaduhan antara mereka.


Ambil bertih dari hulu,
            Isi mari di dalam balang;
      Bersihkan halaman kita dahulu,
            Baru bersihkan halaman orang.
                                                                      
                                      [Bingkisan Permata, 2001: 541]

Pantun di atas merupakan kritikan sosial terhadap orang yang suka mengkritik kesilapan orang lain sedangkan diri sendiri melakukan kesilapan yang sama. Terdapat beberapa peribahasa Melayu yang merujuk kepada sikap ini, misalnya ‘bagai ketam mengajar anaknya berjalan betul’ - menyuruh orang lain membetulkan kesilapan tetapi diri sendiri juga silap, ‘bicarakan rumput di halaman orang, di halaman sendiri rumput sampai ke kaki tangga’ -  cacat cela orang lain nampak, cacat cela sendiri tidak kelihatan dan ‘bintang di langit boleh dibilang, tetapi arang di mukanya tak sedar’. Falsafah yang tersirat di sebalik pantun tersebut membawa amanat dan peringatan tentang peri pentingnya seseorang melihat dan menilai kelemahan diri sendiri sebelum sibuk membetulkan kesilapan orang lain.


Kecil-kecil kacang pelisa,
            Pandai melilit di pagar orang;
Tengok kecil mulutnya bisa,
            Pandai menyakit hati orang.

                                                                                                 [Bingkisan Permata, 2001: 568]

            Pantun di atas mengkritik salah satu sikap buruk yang ada pada manusia, iaitu tidak pandai menjaga tutur kata. Za’ba (1950, dalam Mohd Rashid Md.Idris, 2011: 197) menyatakan bahawa masyarakat Melayu yang dianggap beradat mestilah berbudi bahasa dan baik tutur katanya. Masyarakat Melayu memandang tinggi terhadap budi pekerti yang mulia, sopan santun dan sifat lemah-lembut terutamanya terhadap kaum wanita. Gadis atau wanita yang bersikap kasar dan bermulut celopar dianggap kurang ajar dan sangat menyakitkan hati. Bagi masyarakat Melayu, nilai budi bahasa lebih disanjung tinggi berbanding kecantikan wajah. Seseorang yang memiliki paras yang cantik jelita jika tidak berbudi bahasa tidaklah dipandang orang. Jelaslah budi bahasa itu sendiri mampu menandingi kecantikan dalam erti kata memenangi hati seseorang seperti dalam pantun di bawah:


Anak teruna menanam betik,
            Buah cempedak dalam raga;
Apalah guna berwajah cantik,
            Kalau kurang budi bahasa.

                                                                                                 [Bingkisan Permata, 2001: 100]

Nilai-nilai kejiranan turut diketengahkan dalam bahagian ini. Pelbagai aspek kejiranan telah ditonjolkan dalam pantun Melayu, antaranya ialah nilai tolong-menolong.


Ribut-ribut bawa pukat,
            Melihat gelung di Selat Jawa;
Kita hidup tanda muafakat,
            Tolong-menolong tanda sejiwa.

                                                                                                 [Bingkisan Permata, 2001: 578]

            Pantun di atas memberikan gambaran kehidupan masyarakat Melayu dahulu yang saling tolong-menolong antara satu sama lain. Kegiatan ini dapat memupuk cara hidup yang baik, bertimbang rasa dan sikap prihatin untuk melahirkan masyarakat yang lebih makmur (Mohd Rashid Md.Idris, 2011: 215). Nilai tolong-menolong sememangnya lazim diamalkan oleh masyarakat Melayu tradisi, contohnya dalam kenduri perkahwinan. Mereka bergotong-royong membuat persiapan dan tidak lokek menyumbangkan wang, masa dan tenaga. Keadaan ini turut digambarkan dalam peribahasa Melayu ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ dan ‘bagai aur dengan tebing’.
Masyarakat Melayu juga mengutamakan nilai perpaduan. Bagi masyarakat Melayu, ‘cubit paha kanan, paha kiri terasa sakit juga’ – turut bersama-sama merasakan kesusahan dan penderitaan yang dihadapi oleh anggota keluarga atau masyarakat. Masyarakat Melayu pada zaman dahulu mempunyai hubungan yang mesra dengan jiran tetangga dan menjauhi sikap ‘bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’. Nilai perpaduan terungkap dalam pantun berikut:


Kalau ke bukit sama mendaki,
            Kalau ke laut sama berenang;
Kalau kita bersatu hati,
            Kerja yang berat menjadi senang.

                                                                                                 [Bingkisan Permata, 2001: 543]

            Keluarga adalah satu daripada institusi penting dalam masyarakat selain daripada ekonomi, pendidikan, politik dan agama. Usaha mewujudkan masyarakat yang harmoni perlulah bermula dari rumah, iaitu melalui hubungan kekeluargaan. Masyarakat Melayu tradisi mempunyai hubungan kekeluargaan yang baik dan erat. Pada masa dahulu, kebanyakan keluarga tinggal berdekatan dengan sanak saudara. Oleh itu, jalinan hubungan kekeluargaan sangat erat.


Dapat seekor ikan tenggalan,
            Lalu ditaruh di atas peti;
Saudara-mara dapat berkenalan,
            Bertambah mesra kasih di hati.

                                                                                                 [Bingkisan Permata, 2001: 543]

            Pantun juga digunakan sebagai medium untuk berhibur. Pada zaman dahulu, masyarakat Melayu akan berhibur dengan melafazkan pantun-pantun bersifat jenaka atau mengusik setelah lelah bekerja dan pada waktu lapang. Pantun juga dijadikan sebagai lirik dalam lagu-lagu Melayu lama seperti lagu Melayu asli, keroncong, dondang sayang, zapin, ghazal, canggung, seloka dan sebagainya. Contohnya Pantun Cik Busu Pandai Membilang Malam versi Terengganu.


Kata Cik Busu pandai membilang malam:
Malam ini malam kese-se
            Parang dewangsa
                        Hendak memarang gunung sebuah
            Kata Cik Busu pandai berkata
                        Kata sepatah tiada berubah.



 Kata Cik Busu pandai membilang malam:
Malam ini malam kedua-we
            Dua di kayu anak
                        Mari disumpit dengan sumpitan
            Orang berdua berdukung anak
                        Macam gunung bersahutan.
                                                                                                      [Bingkisan Permata, 2001: 586]


Salam Perpisahan
Selain berfungsi untuk mendidik dan memberikan pengajaran, pantun juga digunakan untuk menzahirkan dan meluahkan perasaan suka, gembira dan sedih. Bahagian ini menghimpunkan pantun perpisahan – pantun ucapan selamat tinggal, pantun memohon kemaafan dan harapan bertemu lagi serta pantun akhir majlis.


Hari ini merendang jagung,
            Hari esok merendang serai;
Hari ini kita berkampung,
            Hari esok kita bercerai.

Hari ini merendang serai,
            Hari esok merendang ringgi;
Hari ini kita bercerai,
            Ada umur bertemu lagi.

                                                                                                 [Bingkisan Permata, 2001: 606]

Pantun tersebut menggambarkan hakikat kehidupan yang sentiasa berputar dan akan dilalui oleh manusia, iaitu perpisahan. Setiap sesuatu yang bermula akan ada pengakhirannya. Begitu juga dengan pertemuan, pasti ada titik perpisahannya. Hanya doa dan harapan diluahkan moga akan adanya pertemuan pada masa akan datang.


Hinggap mari di pohon remunia,
            Jauh dari pohon meranti;
Kami mencabut sedak rebana,
            Majlis berpantun mohon berhenti.

                                                                                                 [Bingkisan Permata, 2001: 606]

            Pantun ini menggambarkan kesopanan yang menjadi amalan masyarakat Melayu. Pantun digunakan untuk mengakhiri majlis dengan ungkapan meminta izin sebagai tanda menghormati tetamu yang menghadiri majlis tersebut. Pada akhir atau penghujung sesuatu majlis, pantun digunakan bagi melahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada mereka yang terlibat. Permohonan maaf juga disampaikan sekiranya terdapat tutur kata atau perbuatan yang menyinggung hati dan perasaan. Penggunaan kata-kata yang indah dalam menyampaikan perasaan akan memberikan kesan yang mendalam kepada orang yang menerimanya. Hal ini jelas menunjukkan bahawa masyarakat Melayu amat mementingkan budi bahasa dalam apa jua keadaan.


Kalau ada jarum yang patah,
            Jangan disimpan di dalam peti;
Kalau ada silap dan salah,
            Jangan disimpan di dalam hati. 

                                                                                                 [Bingkisan Permata, 2001: 607]

Harapan
Bahagian ini menghimpunkan pantun-pantun yang menggambarkan harapan seseorang agar hak miliknya dikembalikan dalam keadaan yang baik dan sempurna. Dalam konteks Bingkisan Permata, pantun ini diletakkan pada bahagian pengakhiran berkemungkinan bagi menyampaikan harapan pengkaji agar khazanah pantun Melayu dipelihara dengan baik dan tidak dirosakkan nilai keindahannya.


Bunga anggerik di atas pagar,
            Pagar bersasak dengan pintunya;
Jangan tercabik jangan terbakar,
            Jangan rosak barang suatunya.

                                                                                                 [Bingkisan Permata, 2001: 609]